Touch ‘n Go eWallet, Maxis jalin kerjasama strategik

Touch ‘n Go eWallet, Maxis jalin kerjasama strategik

TOUCH ‘n Go eWallet dan Maxis Bhd (Maxis) menjalinkan kerjasama strategik bagi menyediakan pengalaman yang lebih lancar kepada pengguna kedua-dua syarikat itu.

Ketua Pegawai Komersial TNG Digital Sdn Bhd, Danny Chua berkata, kerjasama itu membolehkan pengguna Touch ‘n Go eWallet melayari kedai dalam talian Maxis untuk membayar bil, membeli-belah produk dan perkhidmatan Maxis dengan tawaran eksklusif serta menaik taraf pelan mudah alih mereka dengan mudah.

Menurutnya, dengan lonjakan permintaan untuk pembayaran tanpa sentuh dan peningkatan kaedah pembayaran tanpa tunai, peranan industri dalam memupuk rangkuman digital kini menjadi keutamaan penting.

“Touch ‘n Go eWallet dan Maxis ialah jenama yang berakar umbi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

“Kami gembira mempunyai rakan kongsi yang hebat untuk membawa nilai tambah dan mencipta pengalaman yang lebih baik untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Danny berkata, melalui kerjasama itu, pengguna boleh memanfaatkan tawaran mudah alih terkemuka Maxis terutamanya bagi mereka yang merancang untuk menaik taraf perkhidmatan atau membeli telefon mudah alih baharu.

Jelasnya, pengguna juga boleh memilih kaedah tanpa tunai dan tanpa sentuh dalam mengurus serta menyelesaikan pelbagai tugas, termasuk membayar bil telefon mereka.

“Pengguna Maxis akan dapat menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai pembayaran pilihan dan menikmati proses pendaftaran yang lebih singkat.

“Ini kerana Touch ‘n Go eWallet eKYC (Kenali Pelanggan Anda) akan menggantikan pengesahan kod pengesahan transaksi (TAC) untuk tujuan pembayaran sekali gus memudahkan pengguna melakukan transaksi pada Touch ‘n Go eWallet mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan Maxis, Patrick Er berkata, ini merupakan kerjasama hebat antara dua rakan kongsi yang berfikiran sama, terutamanya dalam landskap digital hari ini.

“Dengan menyepadukan perkhidmatan kami ke dalam eWallet Touch ‘n Go, pelanggan akan mendapat manfaat dan mudah untuk berinteraksi dengan kami pada bila-bila masa dan di mana sahaja yang merupakan tambahan hebat kepada rangkaian luas platform digital kami.

“Ini ialah jenis pengalaman omnichannel yang sangat berkaitan dengan gaya hidup pelanggan kami,” jelas beliau.

Sumber