Lotus’s Malaysia tandatangan PPA kali kedua bersama NEFIN

Lotus’s Malaysia tandatangan PPA kali kedua bersama NEFIN

LOTUSS Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) kali kedua dengan syarikat neutral karbon premium dan penyelesaian pembiayaan yang terkenal di Asia, Kumpulan NEFIN (NEFIN) bagi menyokong matlamat menjadi sebuah organisasi sifar karbon menjelang 2030.

Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, PPA Lotus’s-NEFIN tersebut akan berjalan selama 20 tahun sehingga 2042, melibatkan pemasangan photovoltaic solar panels (PV) di ruang atas bumbung 12 lagi stor di seluruh negara dan di Pusat Pengedaran Segar (DC) Lotus’s di Simpang Pulai, Perak.

Jelasnya, sebaik sahaja pemasangan selesai pada Ogos 2022, panel PV solar itu secara kolektif akan menjana kira-kira 9,300,000 kilowatt-jam (kWj) tenaga bersih setahun, sekali gus mengurangkan kira-kira 5,943 tan pelepasan karbon ke atmosfera.

“Ini merupakan fasa kedua untuk inisiatif tenaga solar kami yang telah bermula pada Julai 2020. Kami mula memasuki PPA dengan NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS), sebuah syarikat usaha sama Petronas dan Kumpulan NEFIN untuk pemasangan panel PV pada 15 stor sebelum ini. Setakat ini, Lotus’s mempunyai pemasangan PV solar komersial yang terbesar di Malaysia.

“Dengan 12 stor baharu di bawah Lotus’s-NEFIN PPA ini, 27 daripada 64 stor kami yang sedia ada serta satu DC akan beroperasi dengan menggunakan tenaga bersih dan bersama fasa satu, Lotus’s akan dapat mengurangkan karbon operasi sebanyak kira-kira 14,761 tan setiap tahun, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon keseluruhan kami.

“Ini adalah salah satu di antara usaha berterusan kami untuk kelestarian alam sekitar dan menangani isu perubahan iklim.

Usaha -usaha kami yang lain termasuklah pengagihan semula makanan yang tidak terjual tetapi selamat dan boleh dimakan kepada pertubuhan bukan kerajaan dan menghentikan penyediaan beg plastik sekali guna di stor kami yang bermula sejak Julai 2021,” katanya pada Selasa.

Ketua Pembangunan Perniagaan dan Pengarah Urusan Kumpulan NEFIN, Chong Bor Hung berkata, syarikat tersebut berbesar hati dipilih sekali lagi oleh Lotus’s Malaysia untuk projek solar fasa dua mereka untuk 13 tapak di seluruh Malaysia.

Menurutnya, mempunyai pelanggan berulang menunjukkan kepercayaan mereka terhadap keupayaan NEFIN untuk menyampaikan penyelesaian yang memberi manfaat dan inovatif.

“Dengan pelaburan daripada ACEN, sebuah platform tenaga Ayala Corporation, kami telah membina asas yang kukuh untuk menyediakan penyelesaian neutraliti karbon yang komprehensif untuk pelanggan-pelanggan kami di seluruh APAC.

“NEFIN akan melabur sepenuhnya dalam 13 PV solar yang merangkumi reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem PV solar. Solarvest Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama telah dilantik sebagai Pakar Tenaga Bersih tempatan untuk projek ini,” ujarnya.

Sebagai makluman, selain Pusat Pengedaran Segar di Perak, stor yang turut akan dilengkapi dengan panel PV solar ialah Lotus’s Manjung, Sungai Dua, Sungai Petani Utara, Ara Damansara, Jenjarom, Putra Nilai, Seremban 2, Melaka Cheng, Melaka Hyper, Kulai, Mutiara Rini dan Plenton.

Sumber