Malaysia #QuranHour fokus kepada anak muda

Malaysia #QuranHour fokus kepada anak muda

SHAH ALAM – Penganjuran Malaysia #QuranHour (MQH) pada Rabu, iaitu mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal bersempena sambutan Hari Kemerdekaan akan memberi fokus utama terhadap golongan muda.

Pengerusi Benevolent Malaysia, Dr Jufitri Joha berkata, kejayaan membina akhlak anak muda merupakan formula bagi melahirkan pemuda merdeka yang mampu menjadi pemimpin soleh kelak dan penentu kepada keutuhan tamadun.

Menurutnya, anak muda perlu bersahabat dengan al-Quran dan membudayakannya setiap hari agar nilai-nilai yang terkandung di dalamnya dapat diterapkan di dalam diri.

“Mereka mesti yakin al-Quran mukjizat paling hebat yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan membaca kisah-kisah bagaimana kitab ini merubah kehidupan pelbagai tokoh.

“Jika ada anak muda yang berkebolehan memimpin, jadilah seperti Nabi Yusuf AS seperti yang dirakamkan dalam surah Yusuf iaitu meminta jawatan tersebut dengan kualiti ‘hafiz’ dan alim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Pada 16 Ogos lalu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat tiga surah pilihan iaitu Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr bagi penganjuran Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada Rabu bermula jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Penganjuran kali ke-9 itu memberi fokus kepada agenda anak muda dan peranan orang dewasa dengan membawa misi ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’.

Sementara itu mengenai cabaran dan kekangan yang perlu dihadapi golongan muda sebagai pemimpin, Jufitri menjelaskan, mereka sering dianggap kurang pengalaman oleh orang dewasa.

“Perlu diingat, walaupun kurang pengalaman, mereka mempunyai masa depan dan harapan baharu untuk ditawarkan kepada masyarakat.

“Gabungan golongan dewasa dan semangat anak muda diperlukan walaupun berdepan dengan jurang generasi.

“Ia pastinya tidak dapat ditutup tetapi jurang ini dapat dikurangkan dengan membentuk persefahaman iaitu yang tua dikasihi dan muda disayangi,” ujarnya.

Tambah beliau, perjuangannya sebagai mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) selaras dengan inti pati Malaysia Madani iaitu melahirkan belia dan umat yang bukan sahaja maju daripada segi fizikal tetapi juga dari segi akhlak.

“Nasihat ikhlas saya kepada anak muda, bebaskan jiwa dan minda dengan pembudayaan ilmu, peningkatan kemahiran insaniah, perindahkan akhlak yang mana sumbernya tentulah daripada al-Quran,” katanya.

Sumber