Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

RINGGIT memulakan urus niaga Selasa dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika Indeks Dolar AS kekal lemah daripada peningkatan selama 11 minggu, sebelum ini.

Sentimen pasaran juga lebih berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi AS mengenai perdagangan pada minggu ini, dalam usaha mendapatkan petunjuk lebih jelas berkaitan hala tuju pasaran, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada di paras 4.6530/6555 berbanding dolar AS daripada 4.6535/6565 pada akhir urus niaga Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi dolar AS agak mendatar pada masa ini berikutan pasaran lebih tertumpu menunggu data pasaran pekerjaan di negara maju itu pada akhir minggu ini.

Senarai gaji bukan perladangan (NFP) pula akan diumumkan pada Jumaat dengan anggaran ramai atau konsensus menjangkakan angka susut kepada 170,000 pada Ogos daripada 187,000 sebelum ini manakala kadar pengangguran mungkin kekal pada 3.5 peratus, katanya.

Mohd Afzanizam berkata, lelongan bon Perbendaharaan AS selama dua tahun dan lima tahun berjaya mencatat hasil tertinggi sejak 2008, sekali gus menunjukkan sentimen pasaran bon menjangkakan kenaikan kadar faedah terbukti masih belum reda.

Selain itu, kadar inflasi dengan perbelanjaan penggunaan peribadi teras yang akan diumumkan pada Khamis, dijangka mencatat 4.2 peratus bagi Julai berbanding 4.1 peratus pada Jun, berdasarkan anggaran konsensus.

“Berikutan itu, ringgit diunjur kekal lemah berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat ini ketika pasaran tidak pasti sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengubah pendirian dalam keadaan langkah yang ketat di pasaran tenaga kerja.

“Kami menjangkakan ringgit dalam julat 4.64 hingga 4.66 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit turut dibuka rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 5.0364/0391 daripada 5.0290/0323; rendah berbanding pound Britain kepada 5.8693/8724 daripada 5.8522/8560 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.1772/1793 daripada 3.1752/1774 semalam.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain, termasuk susut berbanding dolar Singapura pada 3.4339/4360 daripada 3.4282/4307.

Ia bagaimanapun mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 304.2/304.5 daripada 304.2/304.6 sebelum ini namun susut berbanding baht Thailand kepada 13.1940/2063 daripada 13.1936/2088 serta rendah sedikit berbanding peso Filipina pada 8.20/8.20 daripada 8.19/8.20. – Bernama

Sumber