RISDA sasar bantu lebih 400,000 pekebun kecil tahun depan

RISDA sasar bantu lebih 400,000 pekebun kecil tahun depan

Noraini (tengah) menyaksikan penyerahan MoU oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah (dua dari kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif MARDEC Berhad, Syed Mahdhar Syed Hussain pada Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA Bulan Ogos di Ibu Pejabat RISDA pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Noraini (tengah) menyaksikan penyerahan MoU oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah (dua dari kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif MARDEC Berhad, Syed Mahdhar Syed Hussain pada Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA Bulan Ogos di Ibu Pejabat RISDA pada Selasa. – Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan untuk membantu lebih 400,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia pada tahun depan menerusi peruntukan hampir RM700 juta.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya merancang meningkatkan lagi komitmen menerusi pelaksanaan pelbagai program yang bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti pekebun kecil tetapi berjaya mengimbangi pendapatan mereka.

“Saya dimaklumkan, setakat ini seramai lebih 20,000 usahawan telah dilahirkan. Daripada jumlah tersebut, seramai 13,537 usahawan pekebun kecil yang kekal dan aktif dalam bidang keusahawanan.

“Buat masa ini rekod menunjukkan purata jualan bagi kelompok usahawan ini mencapai sekitar RM4,700 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat RISDA Bulan Ogos 2023 anjuran Bahagian Dasar & Perancangan Strategik (BDPS) di sini pada Selasa.

Noraini menjelaskan, kerajaan terus memberikan kepercayaan kepada RISDA dengan peningkatan peruntukan setiap tahun seiring dengan kecemerlangan yang diraih agensi berkenaan.

Katanya, pada tahun ini, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM676.4 juta bagi meneruskan kelestarian penanaman getah dan menyediakan perkhidmatan sokongan untuk meningkatkan pendapatan.

Sempena perhimpunan itu, Noraini turut melancarkan Program Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 serta menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman (MoU) RISDA dan MARDEC berkait pengurusan pemasaran hasil getah pekebun kecil.

Beliau juga menyampaikan sijil penghargaan Pertandingan Inovasi iCompex 2023, Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan dan selain diadakan sambutan Bulan Kemerdekaan 2023.

Sumber