Ecolite, Xmegami kerjasama lengkapkan perniagaan Sunzen

Ecolite, Xmegami kerjasama lengkapkan perniagaan Sunzen

KUMPULAN Sunzen (Sunzen) mengumumkan pelaburan terbaharu dalam sektor kemudahan penjagaan kesihatan melalui kerjasama antara anak syarikatnya Ecolite Biotech Manufacturing Sdn Bhd (Ecolite) dan syarikat perniagaan mikro tempatan, Xmegami Sdn Bhd (Xmegami).

Pengarah Urusan Sunzen, Teo Yek Ming berkata, kerjasama itu akan melengkapkan ekologi perniagaan syarikatnya dalam industri berkenaan.

“Tiga perniagaan utama Kumpulan Sunzen membabitkan sektor kewangan, kesihatan haiwan dan kesihatan manusia.

“Dengan peningkatan dalam kualiti hidup, orang ramai semakin menitikberatkan mengenai aspek kesihatan dan menunjukkan minat terhadap produk penjagaan kesihatan.

“Oleh itu, kerjasama Ecolite dan Xmegami akan melengkapkan ekologi perniagaan kumpulan dalam industri penjagaan kesihatan manusia dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan yang amat besar dalam perniagaan keseluruhan syarikat,” katanya ketika sidang akhbar di sebuah hotel, di ibu kota, di sini, pada Sabtu.

Produk penjagaan kesihatan Ecolite menggabungkan formula daripada bahan resipi tradisional melalui kemudahan moden bagi memudahkan orang ramai mendapat nutrisi diperlukan.

Selain itu, Ecolite juga menyediakan produk daripada pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pembuatan reka bentuk asli (ODM) yang mematuhi beberapa antaranya piawaian pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Produk syarikat itu turut mendapat pensijilan Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Perakuan Kesihatan Veterinar (VHM).

Mengulas lanjut, Yek Ming berkata, Kumpulan Sunzen percaya kerjasama itu bakal membolehkan kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menjadi antara jenama kesihatan terkemuka di Malaysia dan seterusnya ke luar negara.

“Ini supaya menjadi kebanggaan kepada pengeluar jenama penjagaan kesihatan di Malaysia di samping mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yek Ming berkata, Sunzen merancang bagi menggunakan kilang tambahan untuk industri penjagaan kesihatan haiwannya, Ecolite dalam usaha mengekalkan pembangunan penjagaan kesihatan manusia yang menjana keuntungan bagi syarikat itu.

Katanya, peralatan dan kemudahan kilang dijangka siap dan ia bakal memulakan pengeluaran menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Xmegami, Cheong Sheue Xin berharap usaha sama itu akan membawa masuk lebih banyak produk kesihatan yang lebih berkesan kepada pengguna.

“Kilang Xmegami juga akan mengutamakan untuk membangunkan formulasi dan kualiti produk di mana ia akan mempromosikan kepada pelanggan tempatan dan luar negara melalui pelbagai saluran pemasaran dalam talian dan luar talian,” katanya.

Xmegami Sdn Bhd pula adalah platform pemula Internet bermodal rendah yang diasaskan pada tahun 2017.

Xmegami telah membantu ribuan rakan kongsi termasuk suri rumah bagi meraih pendapatan di platform itu sambil meningkatkan nilai dan kualiti hidup.

Selain daripada pasaran Malaysia, Xmegami dilaporkan bakal mengembangkan perniagaannya ke Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Indonesia.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber