KUSKOP minta Bank Rakyat sedia dana khas koperasi agromakanan

KUSKOP minta Bank Rakyat sedia dana khas koperasi agromakanan

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta Bank Rakyat menyediakan dana khas kepada koperasi yang terlibat dengan sektor agromakanan bagi membantu negara menghadapi krisis bekalan makanan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu sektor agromakanan kerana krisis yang berlaku menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang.

“Salah satu sektor yang amat penting dalam menghadapi kenaikan harga barang adalah agromakanan dan di bawah KUSKOP kita ada banyak koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian ini contohnya ternakan ayam.

“Terdapat 15 koperasi yang mengeluarkan sebanyak 42 juta ekor ayam, jadi kita nak bantu tingkatkan pengeluaran kepada 52 juta ekor misalnya menerusi sistem pertanian kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 yang diadakan secara maya di Dewan Tun Abdul Razak (DTAR), Menara Kembar Bank Rakyat, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar.

Noh menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Noh menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Noh berkata, usaha itu juga sejajar dengan dasar yang dilakukan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menubuhkan federasi dan memainkan peranan mengikut sektor masing-masing termasuk sektor agromakanan.

“Jadi saya harap keutamaan pemberian pinjaman dapat diberikan kepada koperasi atau syarikat yang memohon memajukan bidang pertanian ini,” ujarnya.

Sementara itu, Abd Rani memberitahu, Bank Rakyat yang akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-68 pada September depan akan melaksanakan transformasi digital inklusif dalam perniagaan dan operasi bagi meremajakan bank itu.

“Bagi memastikan Bank Rakyat kekal relevan untuk tahun mendatang, pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dirangka yang kini berada dalam fasa pelaksanaan, kesemua 46 program direncanakan berjaya direalisasikan mengikut perancangan.

“Bank Rakyat akan terus menyokong pertumbuhan mampan ‘Keluarga Koperasi’ dan memperkasakan peranan federasi koperasi khususnya dalam sektor kewangan dan keusahawanan yang mana bertepatan dengan aspirasi KUSKOP untuk memasyarakatkan gerakan koperasi dalam negara sebagai pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi negara bangsa yang seimbang dan progresif.

Katanya, Bank Rakyat juga berhasrat untuk terus berinovatif dalam merancang pelbagai produk dan perkhidmatan yang holistik dan bersepadu serta dapat memanfaatkan anggota dan pelanggan untuk mencapai visinya sebagai Bank Koperasi Islam Progresif Nombor 1 di Malaysia.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber