Pernas bantu lahir lebih ramai usahawan francais

Pernas bantu lahir lebih ramai usahawan francais

SEBERANG JAYA – Lebih ramai usahawan francais akan dilahirkan menerusi Program Bizfrancais 2022 yang dianjurkan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) di beberapa negeri pada tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan dan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh berkata, program bertujuan membuka peluang kepada usahawan sedia ada serta bakal usahawan untuk mengetahui informasi terkini mengenai perniagaan francais.

Menurutnya, usaha terbabit akan merancakkan lagi industri francais di negara ini sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi.

“Selain melahirkan lebih ramai usahawan francais, program ini turut menjadi platform membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi tempatan yang menggalakkan peniaga-peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan sistem francais melalui program Business In Transformation (BIT).

“Melalui program ini juga, kita sasarkan akan dapat membantu sekurang-kurangnya 25 usahawan baharu dan menaikkan jenama mereka setanding perniagaan francais terkemuka di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bizfrancais Pulau Pinang 2022 di sini, pada Ahad.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Zamri berkata industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan apabila sebanyak 1,137 syarikat francais telah berdaftar setakat ini.

Jelasnya, daripada jumlah itu 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 70 buah negara dan pencapaian itu membuktikan industri francais mendapat tempat di kalangan usahawan sebagai cabang perniagaan berdaya maju.

Sementara itu, Zamri berkata, Pernas telah meluluskan sebanyak RM9.38 juta pembiayaan susulan daripada penganjuran program BizFrancais di 11 lokasi sejak tahun 2019 sehingga 2021.

Beliau berkata, bermula pada tahun 2007 sehingga kini, Pernas telah membiayai sebanyak RM45.4 juta kepada para usahawan di Wilayah Utara yang meliputi negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Pernas melihat banyak potensi yang boleh diterokai bagi membangunkan perniagaan francais berdasarkan kepada kemunculan pelbagai jenama francais di wilayah ini,” katanya.

Dalam program yang sama, seramai tujuh usahawan telah menerima replika cek pembiayaan yang keseluruhannya bernilai RM1.6 juta.

Tujuh usahawan francais menerima replika cek pembiayaan daripada Pernas.

Tujuh usahawan francais menerima replika cek pembiayaan daripada Pernas.

Antara syarikat yang menerima pembiayaan itu Gerbang Pizzeria Sdn Bhd, Manusias Resources, H&W Rizq Sdn Bhd, Breena Empire Sdn Bhd, M&M First Group Sdn Bhd, Qayrizz Enterprise dan Elevate Enterprise.

Selain itu, tiga syarikat turut menerima sijil BIT Pernas iaitu Iddas Frozen, Syukor Burger dan Chor World.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber