BNM dijangka kekalkan OPR pada tiga peratus sehingga akhir 2024

BNM dijangka kekalkan OPR pada tiga peratus sehingga akhir 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024.

BMI, unit di bawah agensi penarafan kredit Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024 memandangkan inflasi domestik terus mereda di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Menurut BMI, bank pusat Malaysia pada mesyuarat dasar monetari bertarikh 7 September telah mengekalkan OPR pada paras semasa yang mana ia selari dengan konsensus dan jangkaannya.

“Kami terus mengunjurkan BNM mengekalkan OPR di mesyuarat seterusnya pada 6 November (mesyuarat terakhir untuk 2023) dan sehingga akhir 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BMI berkata inflasi domestik negara berada pada trajektori penurunan yang stabil, dengan inflasi utama berkurangan daripada 2.8 peratus tahun ke tahun pada Mei kepada 2.0 peratus pada Julai 2023.

“Inflasi yang bertambah baik menunjukkan kadar dasar sebenar Malaysia kini berada dalam zon positif. Justeru, kami percaya bahawa pendirian dasar semasa adalah mencukupi untuk mengekalkan inflasi terkawal,” katanya.

Menurut BMI, penurunan harga yang lebih pantas daripada jangkaan telah mendorongnya merendahkan unjuran inflasi akhir 2023 kepada 1.8 peratus daripada 2.0 peratus sebelum ini.

Sehubungan itu, ia telah melaraskan unjuran inflasi kepada purata 2.6 peratus pada 2023 daripada 2.7 peratus sebelum ini. – Bernama

Sumber