Pasaran hartanah stabil, transaksi meningkat kepada RM85.37 bilion

Pasaran hartanah stabil, transaksi meningkat kepada RM85.37 bilion

AKTIVITI pasaran hartanah negara mencatatkan prestasi stabil pada separuh pertama 2023 dengan jumlah nilai transaksi meningkat 1.1 peratus kepada RM85.37 bilion daripada RM84.40 bilion yang direkodkan pada tempoh sama 2022.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walau bagaimanapun jumlah bilangan transaksi pasaran hartanah mengalami penurunan kecil sebanyak 2.1 peratus kepada 184,140 pada separuh pertama 2023 daripada 188,002 yang dicatatkan pada separuh pertama tahun lepas.

“Subsektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai lebih 60 peratus daripada keseluruhan bilangan transaksi dan hampir 53 peratus daripada keseluruhan nilai transaksi.

“Ini diikuti oleh subsektor pertanian dengan bahagian hampir 19.8 peratus dari segi bilangan manakala subsektor perdagangan di tempat kedua dengan bahagian 19.6 peratus dari segi nilai transaksi,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2023 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, segmen pasaran kediaman baharu masih mengalami sentimen berhati-hati apabila lebih 16,000 unit baharu dilancarkan dalam tempoh penilaian itu berbanding lebih 33,000 unit pada tahun lepas, dengan sebahagian besar pelancaran baharu terletak di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, prestasi segmen unit siap dibina tidak terjual pula bertambah baik dalam tempoh pemulihan pasaran apabila mencatatkan penurunan 5.3 peratus kepada 26,286 unit kediaman bernilai RM18.3 bilion daripada 27,746 unit kediaman bernilai RM18.4 bilion pada separuh kedua 2022.

“Hampir 58 peratus daripada kediaman yang tidak terjual adalah hartanah kondominium/pangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, hampir separuh adalah yang berharga lebih RM500,000 seunit.

“Johor kekal dengan bilangan kediaman yang tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 4,717 unit diikuti Selangor dengan 4,307 unit. Dua negeri ini masing-masing merekodkan nilai yang tidak terjual lebih RM4.0 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Johor dapat mengurangkan bilangan yang tidak terjual sebanyak 10.3 peratus manakala Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 16.5 peratus berbanding angka tahun lepas.

Ahmad berkata, aktiviti pembinaan kediaman mencatatkan penurunan bagi siap dibina, mula dibina dan penawaran baru dirancang masing-masing sebanyak 10.4 peratus, 1.2 peratus dan 15.8 peratus berbanding yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.

Selangor menyumbang bilangan yang siap dibina tertinggi merangkumi 31.2 peratus (8,874 unit) daripada jumlah keseluruhan nasional, diikuti Perak (12.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12.7 peratus).

Semasa sidang media, beliau berkata, pasaran hartanah diunjurkan meningkat pada separuh kedua 2023 didorong kestabilan politik dan pelancaran dasar besar negara.

“Dasar besar negara dilancarkan pada separuh kedua 2023 seperti Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Jadi dasar ini akan memberi impak yang positif kepada ekonomi dan akan menambah kepada pertumbuhan dalam sektor hartanah,” katanya. – Bernama

Sumber