Tarikan pelancongan mesra Muslim – Sinar Harian

    SHAH ALAM – Islamic Tourism Centre (ITC) menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam penganjuran World #QuranConvention (WQC) bagi merancakkan pelancongan Islam di negara ini.

    Ketua Pengarahnya, Nizran Noordin berkata, program bercirikan keagamaan itu bukan sahaja berjaya menarik minat umat Islam di Malaysia, malah di seluruh dunia dengan penyertaan 1,800 peserta dari lebih 69 negara.

    Menurutnya, program ilmiah Islamik seumpama itu turut menjadi platform yang ideal untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim dan merupakan strategi baik sebagai persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

    “Oleh kerana topik yang diketengahkan bersifat universal, World #QuranConvention menarik minat setiap lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang dari dalam dan luar negara.

    “Tambahan lagi, barisan penceramah bertaraf antarabangsa dan mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia telah menarik lebih ramai peserta, sekali gus memberi mereka peluang untuk melancong ke Malaysia.

    “ITC melihat ini adalah satu kerjasama yang baik untuk menerajui masyarakat berpandukan formula al-Quran dan Sunnah.

    “Pada masa yang sama, ia bertepatan dengan peranan kami untuk memartabatkan industri Pelancongan Islam dan merancakkan lagi sektor Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

    ITC merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui pembangunan Pelancongan Islam negara dengan memperkukuhkan ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.

    Mengulas lanjut, Nizran berkata, menerusi tema WQC iaitu ‘Serve to be Served: A Divine Guidance from Surah Al-Insan’, peserta dari seluruh dunia berpeluang mendalami bait–bait dari Surah al-Insan dan bermuhasabah diri, merenungkan sikap untuk membentuk personaliti dan ketaatan kepada ALLAH SWT serta membangunkan ummah dan menjadi modal insan kepada masyarakat.

    “Ini secara langsung juga mendidik masyarakat untuk berdisiplin dari segi minda dan sikap yang mana merupakan antara ciri-ciri penting apabila pergi melancong dan menghayati semua ciptaan ALLAH SWT. Inilah transformasi yang ITC ingin lihat,” katanya.

    Pihaknya melihat pasaran pelancong Muslim sangat luas dan mampu membantu menjana ekonomi negara dengan lebih besar.

    Katanya, pada 2028, dianggarkan pelancong Muslim global mencecah seramai 230 juta orang dengan perbelanjaan sebanyak AS$225 bilion.

    Namun katanya, untuk memperoleh manfaat itu, apa yang perlu adalah satu ekosistem MFTH yang kukuh, di mana penggiat industri pelancongan menyedari potensi tersebut dan berusaha untuk menarik minat mereka dengan penyediaan produk dan perkhidmatan yang sesuai serta memenuhi keperluan pelancong Muslim.

    Tambahnya, ITC juga bersedia untuk membantu terutamanya dalam aspek latihan kesedaran, pembinaan kapasiti, pembangunan standard, pertukaran maklumat melalui penganjuran acara, seminar dan persidangan, kajian serta memberikan khidmat nasihat.

    Antara standard yang ITC bangunkan adalah Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) dan Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG).

    Sumber