Surah al-Insan bangunkan ummah, modal insan kepada masyarakat

    SEPANG – Surah al-Insan bukan hanya membentuk personaliti dan ketaatan kepada ALLAH SWT, tetapi juga membangunkan ummah dan menjadi modal insan kepada masyarakat.

    Pengarah World #QuranConvention, Nouman Ali Khan berkata, surah tersebut mengajar manusia untuk terus bersangka baik dengan takdir.

    Menurutnya, kasih sayang atau sifat Ar-Rahman yang ditanam sejak azali membentuk karakter manusia tersebut.

    “Teras kemanusiaan yang paling tinggi adalah memahami moral dan akhlak tanpa mengira siapa pun anda.

    “Manusia sering memikirkan perkara yang belum terjadi dalam hidupnya sehingga menimbulkan ketakutan dan keresahan berpanjangan.

    “Setiap manusia perlu berbuat baik tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang kerana surah ini mengajar kita bukan hanya bertanggungjawab kepada diri sendiri, tetapi juga masyarakat,” katanya dalam sesi kupasan surah al-Insan di Pusat Konvensyen KLIA di sini pada Sabtu.

    Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute itu.

    Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

    World #QuranConvention (WQC) bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

    Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

    Sumber