Konsep surah al-Insan diaplikasi dalam bidang perniagaan

Konsep surah al-Insan diaplikasi dalam bidang perniagaan

SEPANG – Konsep surah al-Insan perlu diaplikasikan dalam bidang perniagaan supaya dapat bersama-sama membangunkan ekonomi negara dengan lebih mampan.

Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, analogi dalam surah tersebut tidak hanya didengar tetapi perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Menurutnya, dengan keadaan dunia yang semakin mencabar, umat Islam perlu menghayati isi kandungan al-Quran yang boleh dijadikan sebagai contoh utama.

“Ini penting dalam konteks acara perniagaan sikap amanah dan jujur perlu dilakukan lebih-lebih lagi apabila melibatkan klien dari dalam mahupun luar negara.

“Kita harus akui dalam cabaran perniagaan yang wujud bukan hanya perlu meyakinkan masyarakat Islam tetapi juga antarabangsa.

“Saya melihat soal penghayatan surah ini bukan hanya sekadar memahami maksudnya, sebaliknya perlu melakukan pelaksanaan ekosistem budaya madani yang lebih komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam diskusi bertajuk ‘Served to be Served: Organization and Nation’ yang dihoskan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail di Pusat Konvensyen KLIA di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen sehari anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute itu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

World #QuranConvention (WQC) bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Istiqlal Indonesia, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar berkata, surah al-Insan juga mengajar manusia untuk membanteras kemiskinan secara holistik.

Ujarnya, terdapat tiga jenis kemiskinan yang perlu dibanteras bagi memastikan masyarakat berhak untuk mengasah bakat dan kemahiran diri.

“Tiga jenis kemiskinan yang sering kita lakukan tanpa sedar ialah kemiskinan masyarakat, kemiskinan budaya dan juga miskin semula jadi.

“Ketiga-tiga itu sama dosanya,” katanya.

Sumber