Syukuri setiap ujian, sebar kebaikan demi ALLAH SWT

Syukuri setiap ujian, sebar kebaikan demi ALLAH SWT

SEPANG – Menerapkan rasa syukur dalam diri bagi setiap keadaan dan berikrar untuk menyebarkan kebaikan kepada insan lain demi ALLAH SWT antara perkara yang diangkat sebagai resolusi World #QuranConvention (WQC) tahun ini.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, berpandukan Surah al-Insan, tiga resolusi berdasarkan konvensyen tersebut wajar dijadikan tekad perubahan dalam diri setiap insan dan masyarakat secara menyeluruh.

Menurutnya, ia selari dengan setiap perkongsian dan intipati program yang menekankan nilai-nilai berkenaan.

“Resolusi pertama yang boleh dirumuskan adalah kita mesti menunjukkan rasa syukur dalam sebarang ujian dan kesusahan yang mendatang.

“Ia seperti mana yang dikongsikan oleh (bekas pengetua tujuh sekolah Islam di Amerika Syarikat) Dr Abdul Munim (Sombat Jitmoud) yang memaafkan pembunuh Allahyarham anak lelakinya. Walaupun hidup kita diuji kita tetap menunjukkan rasa syukur dan menjadi pemaaf.

“Kita juga perlu memilih dan memperkasakan jalan untuk berkhidmat kepada insan lain kerana ALLAH SWT…yang mana kita perlu kenal pasti sebelum tahun hadapan, apa yang boleh dilakukan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat berlandaskan suruhan ALLAH SWT.

“Yang terakhir adalah perlunya kita membina jaringan perhubungan dan pangkalan data yang berupaya mencipta platform dan karya yang berlandaskan kandungan al-Quran,” katanya ketika menyampaikan resolusi keseluruhan WQC di sini pada Sabtu.

Peserta Young Muslim Leaders terdiri daripada pelajar universiti tempatan dan luar negara berkumpul bagi membacakan ikrar sebelum penutupan konvensyen pada Sabtu.

Peserta Young Muslim Leaders terdiri daripada pelajar universiti tempatan dan luar negara berkumpul bagi membacakan ikrar sebelum penutupan konvensyen pada Sabtu.

WQC yang berlangsung di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA dianjurkan WUIF dan Bayyinah Institute.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen tersebut.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

WQC bertemakan ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa.

Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Antara penceramah jemputan ialah Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat sebagai Pengarah World #QuranConvention 2023; Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar dan Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein.

Dalam pada itu, Fazrul berkata, secara keseluruhannya WQC turut menekankan bahawa ALLAH SWT sentiasa menghargai usaha yang dilakukan oleh setiap insan.

Justeru katanya, menerusi nilai-nilai yang diangkat pada konvensyen tersebut diharapkan ia mampu menjadi titik tolak kepada perubahan untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Semoga konvensyen ini memberi manfaat dan menjadi ‘reset button’ kepada setiap peserta dengan harapan kita dapat berhimpun semula pada WQC tahun hadapan,” katanya.

Pada program tersebut turut diumumkan Surah al-Jumuah yang diangkat sebagai surah pilihan tahun hadapan.

Sumber