SkyWorld menang di Anugerah Hartanah Asia Pasifik APPA 2023

SkyWorld menang di Anugerah Hartanah Asia Pasifik APPA 2023

PEMAJU bandar Skyworld Development Berhad memenangi Anugerah Hartanah Asia Pasifik (APPA) 2023 bagi kategori Seni Bina Bertingkat menerusi projek Curvo Residences SkyArena di Setapak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lee Chee Seng berkata, Curvo Residences kini di fasa terakhir yang terletak di tanah seluas 1.793 hektar menguasai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM575.4 juta dan saiz unit antara 952 kaki persegi sehingga 1,345 kaki persegi dengan harga bermula RM564,000.

Menurutnya, kediaman tersebut menawarkan 830 unit merentasi dua menara 44 dan 30 tingkat masing-masing dengan menara A terdiri daripada 448 unit serta menara B terdiri daripada 382 unit.

“Anugerah ini memberikan kami rangsangan dan galakan diperlukan sebagai pemaju bandar serta mencipta produk inovatif bagi kehidupan lebih baik dengan komitmen pasukan yang bekerja keras bagi menjayakan projek.

“Curvo Residences SkyArena merangkumi kehidupan bandar terbaik yang dikelilingi oleh suasana hijau sebagai persediaan untuk memupuk kehidupan kekeluargaan dan gaya hidup urban.

“Pembangunan ini menggabungkan falsafah Jepun ‘wabi-sabi’ melalui seni reka bentuk dan kemasan bangunan, bergantung kepada penggunaan bahan semula jadi dengan menggabungkan keunikan untuk keselesaan serta kesederhanaan dalam keseluruhan konsep,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, projek tersebut turut menawarkan empat tingkat (7, 29, 30 dan 42A) beberapa kemudahan riadah mewah untuk penduduk antaranya termasuk bilik permainan, bilik wap, sudut perpustakaan, teluk tenggelam, dewan serbaguna dan laluan refleksologi.

Jelasnya, pembangunan itu turut menghubungkan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Jalan Genting Klang.

Menurutnya, SkyArena mempunyai anggaran GDV yang mengagumkan sebanyak RM2.3 bilion dengan empat fasa iaitu fasa satu di Ascenda Residences pada 2017, manakala fasa dua Bennington Residences pula tahun 2019 telah selesai dan diserahkan kepada pembeli.

“Kami melihat ciri hijau Curvo Residences sebagai komponen penting dalam projek pembangunan bersepadu SkyArena yang menekankan kepentingan mewujudkan ruang kediaman berkualiti tinggi, mampan dan berorientasikan komuniti.

“SkyWorld komited untuk menyampaikan pengalaman hidup yang luar biasa di bandar sejajar dengan tonggak jenama kami,” katanya.

Sumber