Potensi pelaburan RM23 bilion bukti firma Jepun yakin pada Malaysia

Potensi pelaburan RM23 bilion bukti firma Jepun yakin pada Malaysia

POTENSI pelaburan bernilai RM23.07 bilion yang diraih dalam misi perdagangan dan pelaburan (TIM) ke Jepun baru-baru ini, membuktikan keyakinan syarikat global terhadap ekosistem perniagaan Malaysia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menyambut baik rancangan pelaburan oleh syarikat-syarikat Jepun tersebut seperti NHK Spring, CKD Corporation, Denso Corporation dan Omron di Malaysia.

“Kita berhasrat mewujudkan peluang besar bagi pertumbuhan yang sejajar dengan tumpuan ke atas industri berteknologi tinggi, inovasi dan mampan, termasuk ekosistem kenderaan elektrik.

“Selain itu, kita juga komited dalam memupuk kerjasama lebih erat dan memacu pertumbuhan mampan yang melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Misi ke Tokyo dan Osaka selama lima hari mulai 29 Mei 2023, telah diketuai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ini membabitkan pertemuan dengan wakil syarikat daripada pelbagai sektor termasuk komponen berkaitan kenderaan elektrik (EV), elektrik dan elektronik, bahagian dan komponen jentera, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), logam dan kimia serta produk berasaskannya.

Menurut Mida, syarikat NHK Spring, penggiat utama dalam pengeluaran substrat logam bersepadu akan mengembangkan lagi kemudahan pengeluarannya di Negeri Sembilan bagi menampung lonjakan permintaan substrat yang penting untuk tujuan elektrifikasi kereta.

“Memandangkan industri EV diunjur terus mencatat perkembangan ketara, rancangan pengembangan NHK Spring situ juga seiring dengan usaha Malaysia untuk menggalakkan lagi ekosistem padu bagi pembangunan EV.

“Pembinaan kilang dan kemudahan baharu itu dijangka siap menjelang Disember 2023, sekali gus hanya mengesahkan lagi komitmen syarikat itu terhadap Malaysia sejak pembukaan kemudahannya di Senawang, Negeri Sembilan pada 1994,” katanya.

Mida berkata, pengembangan itu hanya mengukuhkan peranan NHK Spring dalam pembuatan papan pendawaian bercetak berasaskan logam serta turut meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Dalam pada itu, Omron pula berkongsi pelan pelaburan perniagaan masa depannya dengan menumpukan produk-produk pengeluaran menggunakan tenaga boleh diperbaharui bagi menyumbang kepada masyarakat bebas karbon di Malaysia.

“Komitmen Omron terhadap kelestarian itu bertepatan dengan usaha Malaysia untuk menggalakkan aspek amalan mesra alam sekitar dan teknologi hijau,” katanya.

Japan Petroleum Exploration Company Ltd (Japex) pula bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) membabitkan peluang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), termasuk meninjau penyelesaian penyimpanan karbon dioksida bersesuaian di Malaysia.

Menurut Mida, Japex yang juga syarikat cari gali, pengeluaran dan pengangkutan karbon, menyasarkan untuk meneroka penyelesaian CCS yang berpotensi menerusi aktiviti kematangan teknikal serta meneliti kaedah penangkapan dan penyimpanan maksimum.

Kerjasama itu yang diumumkan pada 28 Januari 2022, turut melibatkan aspek pelepasan, jumlah tangkapan dan kaedah pemantauan karbon dioksida yang disimpan di bawah tanah.

Arham berkata, Mida akan terus aktif mempromosi peluang pelaburan dan menyediakan sokongan komprehensif.

Mida sebelum ini mengumumkan kejayaan Malaysia menarik pelaburan diluluskan merangkumi pelbagai sektor ekonomi berjumlah RM71.4 bilion (AS$16.2 bilion) bagi suku pertama 2023.

Ini turut membabitkan 14 projek pembuatan dan perkhidmatan yang mana penglibatan Jepun itu diluluskan oleh Mida dengan jumlah pelaburan bernilai AS$47.0 juta.

Kesemua projek itu diunjur dapat mewujudkan peluang pekerjaan bagi 653 orang dan meletakkan Jepun sebagai pelabur asing ketujuh terbesar segmen terbabit dalam pelaburan diluluskan pada suku pertama 2023. – Bernama

Sumber