Ringgit dibuka tinggi sedikit, permintaan sederhana

Ringgit dibuka tinggi sedikit, permintaan sederhana

Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu, berikutan ia terus mengalami pembetulan teknikal selepas meningkat dalam tempoh tiga hari yang lepas. - Gambar hiasan

Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu, berikutan ia terus mengalami pembetulan teknikal selepas meningkat dalam tempoh tiga hari yang lepas. – Gambar hiasan

NILAI ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi dagangan Isnin meskipun permintaan yang sederhana untuk mata wang tempatan.

Pada jam 9.21 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.6760/6810 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.6785/6825.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat ringgit dijangka mempamerkan prestasi yang lebih baik hari ini selepas data utama yang dikeluarkan di Amerika Syarikat minggu lepas menunjukkan Rizab Persekutuan AS mungkin mengamalkan pendirian monetari yang lebih akomodatif pada masa hadapan.

“Ringgit diunjur bergerak ke arah paras sokongan semerta pada RM4.6611 berbanding dolar AS,” katanya.

Sementara itu, Ambank Research dalam satu nota penyelidikannya menyatakan ringgit mengukuh berikutan keputusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga yang diumumkan Jumaat lepas adalah lebih baik.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga daripada 2.9 peratus pada suku kedua, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

Pada jam 9.21 pagi, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.1006/1060 daripada penutup Jumaat 5.0771/0814, susut berbanding pound Britain menjadi 5.8282/8344 daripada 5.8056/8105 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1273/1309 daripada 3.1267/1296 sebelum ini.

Mata wang tempatan juga kebanyakan rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.8/302.2 daripada 301.9/302.3 tetapi lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4823/4863 daripada 3.4769/4801 pada Jumaat.

Ringgit turut rendah berbanding baht Thai kepada 13.3402/3609 daripada 13.3298/3481 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.40/8.41 – Bernama

Sumber