Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit terus kekal kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari ketiga berturut-turut untuk dibuka tinggi pada Jumaat memandangkan sentimen dolar yang lemah membantu merangsangkan minat terhadap mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 4.3950/3975 daripada 4.4020/4045 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, cakap-cakap mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan global semakin rancak apabila bank pusat utama mengekalkan pendirian mereka untuk meningkatkan kadar dasar masing-masing dalam usaha mengurangkan inflasi.

Beliau berkata Bank of England (BOE) dilihat mahu berada di kedudukan yang sama dengan Rizab Persekutuan AS (Fed) apabila memutuskan untuk menaikkan Kadar Bank sebanyak 25 mata asas kepada 1.25 peratus.

“Oleh itu, aset berisiko seperti ekuiti mengalami penurunan manakala hasil Perbendaharaan AS susut memandangkan pelabur mencari perlindungan daripada turun naik pasaran yang ketara,” katanya.

Semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) pada 14 hingga 15 Jun lepas, Fed AS mengumumkan kenaikan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 75 mata asas kepada di antara 1.50 peratus dengan 1.75 peratus — kenaikan terbesar sejak 1994.

“Bagi dolar AS/ringgit, ia akan kekal lemah kerana permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat dijangka meluas susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi global,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.4173/4204 daripada 5.3396/3427 ketika ditutup pada Khamis dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1733/1755 daripada 3.1687/1710.

Ringgit turut turun berbanding euro kepada 4.6319/6345 daripada 4.5798/5824 semalam namun meningkat berbanding dengan yen kepada 3.2998/3019 daripada 3.3128/3149. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber