Mydin agih 40,000 bubur lambuk di 27 cawangan

Mydin agih 40,000 bubur lambuk di 27 cawangan

Ameer Ali (empat dari kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pelanggan Mydin USJ, pada Sabtu.

Ameer Ali (empat dari kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pelanggan Mydin USJ, pada Sabtu.

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) mengagihkan 40,000 pek bubur lambuk secara percuma kepada masyarakat dan pelanggan melalui program Raikan Ramadan.

Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, pengagihan bubur lambuk itu berlangsung selama lima hari bermula 9 April sehingga 13 April.

“Sebanyak 27 cawangan terlibat dalam menjayakan program Raikan Ramadan dan Mydin MITC, Melaka akan menjadi destinasi terakhir pengagihan bubur lambuk.

“Orang ramai yang mahu mendapatkan bubur lambuk boleh hadir ke cawangan terlibat. Pengagihan makanan ini bermula pada jam tiga petang sehingga tujuh petang,” katanya ketika ditemui di Mydin USJ, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ameer Ali menjelaskan acara berkenaan sudah menjadi kelaziman bagi syarikat untuk berkongsi rezeki dengan mengagihkan bubur lambuk.

Ujar beliau, setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, Mydin akan mengadakan acara pengagihan bubur lambuk kepada pelanggan pasaraya dan komuniti sekitar.

Pada masa sama, Ameer Ali memaklumkan bahawa inisiatif murni itu turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan pembekal strategik yang lain.

“Antara syarikat yang terlibat adalah H Elite Hotel, Adabi, Maggi, Sj Echo, Faiza, OEL dan Inazul yang terlibat menaja bahan-bahan masakan dan tukang masak,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu mendapatkan bubur lambuk percuma itu boleh hadir ke cawangan yang terlibat antaranya, Tunjong, Kelantan; Sandakan, Sabah; Petra Jaya dan Samariang, Sarawak; Parit Buntar, Perak; Taman Batik, Kedah; Masjid India, Kuala Lumpur dan beberapa cawangan lain.

Sumber