World #QuranHour mampu perkukuh budaya baca al-Quran

World #QuranHour mampu perkukuh budaya baca al-Quran

Raja Salbiah (dua dari kanan) menyampaikan infaq kepada penerima di Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Ramadan 1444H/2023 di Dewan Tuanku Aishah Rohani pada Sabtu.

Raja Salbiah (dua dari kanan) menyampaikan infaq kepada penerima di Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Ramadan 1444H/2023 di Dewan Tuanku Aishah Rohani pada Sabtu.

SEREMBAN – Program World #QuranHour 1444H mampu mengajak masyarakat memperkukuhkan budaya membaca al-Quran dalam kehidupan seharian.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS), Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin berkata, ia juga sebagai kempen dan dakwah ke arah mempraktiskan ibadah membaca al-Quran dan menghayati kandungannya.

“Bagi saya apa-apa yang membawa kebaikan wajar diteruskan tambahan berkenaan dengan al-Quran.

“Marilah kita menjadikan amalan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu ayat sehari dan mengikut kaedah yang betul bagi mengelakan kesalahan pada makna sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas selesai Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Ramadan 1444H/2023 bersempena dengan Nuzul al-Quran di Dewan Tuanku Aishah Rohani bangunan NSWO di sini pada Sabtu.

Ujarnya, sambutan terhadap program tersebut juga dilihat memberangsangkan malah penyertaannya terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Kami (Pekerti NS) sentiasa menyokong akan usaha ini kerana budaya membaca al-Quran ini memang telah sebati, subur dan mekar dalam hati dan diri ahli-ahli,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran, beliau berkata, penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan dalam menamatkan pengajian membaca al-Quran, tetapi apa yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya.

“Penghayatan kepada kandungan ayat-ayat suci al-Quran juga akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis sama beliau turut menyampaikan infaq kepada 15 asnaf sempena Ramadan.

Sumber