Minyak mentah cecah paras tertinggi, Brent melonjak 3.62 peratus

Minyak mentah cecah paras tertinggi, Brent melonjak 3.62 peratus

KUALA LUMPUR – Penanda aras minyak mentah melonjak awal hari ini berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat daripada sekatan baharu yang dikenakan ke atas Rusia selepas negara itu menyerang Ukraine lebih seminggu lalu.

Setakat jam 2.07 petang, niaga hadapan minyak mentah Brent meneruskan pergerakan rancak tanpa henti, melonjak sebanyak 3.62 peratus kepada AS$117 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 3.44 peratus kepada AS$114.40 setong.

Terdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi AS$118.22 setong, tertinggi sejak Februari 2013.

Pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaru sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia, membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.

Susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, harga minyak mentah Brent telah melambung melebihi AS$100 setong berikutan kebimbangan gangguan bekalan. Rusia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada bekalan minyak global.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa seperti yang dilaporkan oleh CNBC, Rusia ialah pengeluar minyak ketiga dunia, dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.

Pada Rabu, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, termasuk Rusia, mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari pada bulan Mac. – Bernama



Sumber