FGV bantu pasarkan ayam kampung Ladang’57 di AEON BiG

FGV bantu pasarkan ayam kampung Ladang’57 di AEON BiG

Sheikh Farouk (dua dari kiri) dan Abdul Razak (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Ayam Kampung di AEON BiG Wangsa Maju pada Selasa.

Sheikh Farouk (dua dari kiri) dan Abdul Razak (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Ayam Kampung di AEON BiG Wangsa Maju pada Selasa.

FGV Holdings Bhd (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) komited menjalinkan kerjasama dengan AEON BiG dalam memasarkan ayam kampung di bawah jenama Ladang’57.

Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya berkata, pihaknya memasarkan 1,000 ekor ayam kampung seminggu dan bakal meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 10,000 ekor di pasar raya AEON Big seluruh negara.

“Bekalan ayam kampung daripada Ladang’57 ini dihasilkan oleh peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

“FGV membeli semula ayam kampung ini daripada penternak dan memasarkannya di pasar raya AEON BiG.

“Ia bertujuan meningkatkan pendapatan peneroka Felda yang tidak hanya bergantung kepada tanaman sawit, tetapi ada pendapatan lain boleh dijana menerusi aktiviti dibangunkan bersama ahli keluarga masing-masing,” katanya selepas Majlis Pelancaran Ayam Kampung di AEON BiG Wangsa Maju pada Selasa.

Sebelum ini, FGV pernah bekerjasama dengan AEON BiG dalam memasarkan produk berunsurkan tanaman seperti jagung, nanas dan pisang sebelum Covid-19 melanda negara.

Mengulas lanjut, Abdul Razak memaklumkan, sambutan daripada warga peneroka menggalakkan dan merasa terjamin daripada aspek pemasaran menerusi program berkenaan.

“Mereka lebih seronok dan rasa terjamin apabila hasil daripada aktiviti yang mereka buat, ada jaminan dari segi pemasaran, jadi tiada kegusaran.

“Ini kerana FGV juga memberi makanan ternakan kerana kami hasilkan sendiri daripada isirung kelapa sawit dan hasilnya yang lebih murah sekitar lima ke 10 peratus pula dijadikan makanan ternakan, kemudian beri kepada peneroka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kerjasama strategik bersama FGV dan Ladang’57 memberi peluang kepada pihaknya untuk memasarkan produk baharu kepada pembeli sedia ada.

Tambah beliau, permintaan ayam kampung sentiasa ada dan ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih alternatif selain ayam biasa.

Sumber