Eksport agrikomoditi Malaysia RM117 bilion sehingga September

Eksport agrikomoditi Malaysia RM117 bilion sehingga September

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mencatatkan perolehan eksport sektor agrikomoditi berjumlah RM117 bilion sehingga 30 September 2023.Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, prestasi menggalakkan itu dicapai walaupun negara berdepan pelbagai cabaran di persada dunia disebabkan pergolakan geopolitik, serta perkembangan ekonomi yang tidak menentu.Beliau berkata demikian dalam temu bual 'Selamat Pagi Malaysia – Setahun Kerajaan Madani' terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Selasa.Malaysia Sasar Perluas Pasaran Agrikomoditi ke Peringkat Global Fadillah berkata, kerajaan menyasarkan untuk memperluaskan pasaran baharu produk agrikomoditi ke persada global melalui peningkatan dari segi kerjasama dan hubungan diplomasi.”Antaranya ialah misi Malaysia ke Kenya setelah melihat dari sudut eksport yang semakin meningkat, kita melihat Kenya adalah pasaran baharu untuk kembangkan produk (agrikomoditi) kita,” katanya.Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga mendapat komitmen dari China untuk meningkatkan eksport produk agrikomoditi dari Malaysia sehingga 3.4 juta tan.China merupakan pengimport produk agrikomoditi kedua terbesar Malaysia, selepas Kesatuan Eropah (EU), katanya.Agrikomoditi Hadapi Cabaran Dalam Perluasan Pasaran BaharuSektor agrikomoditi perlu berdepan beberapa cabaran dalam misi memperluaskan pasaran seperti pengenalan peraturan baharu yang mungkin menyekat dan mengekang eksport agrikomoditi, katanya.”Ini khususnya berhubung kait dengan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR). Sebab itu, salah satu misi bersama Indonesia ke Belgium, di bawah negara-negara pengeluar kelapa sawit, adalah untuk berjumpa dengan kepimpinan EU.”Kita dapat persetujuan untuk mewujudkan pasukan petugas bersama (JTF) ad hoc yang dianggotai oleh wakil-wakil dari EU, Indonesia dan Malaysia, yang mana mesyuarat pertama telah dilaksanakan di Jakarta pada Ogos lalu,” katanya.Tambahnya, Malaysia dijangka mempengerusikan Mesyuarat Kedua JTF Ad Hoc EUDR ini pada pertengahan Januari 2024 selepas ditangguhkan pada Disember ini.Tujuan mesyuarat itu adalah untuk mencari jalan bagaimana EUDR mesti mengambil pandangan daripada negara-negara pengeluar dan membincangkan kesan peraturan itu kepada negara pengeluar terutamanya terhadap pekebun-pekebun kecil, serta apakah garis panduan dalam pelaksanaan EUDR.”Salah satu yang kita minta kepada mereka (EU) adalah untuk mengiktiraf ataupun mengakui bahawa kita (negara pengeluar) sudah ada proses untuk mensijilkan semua ladang, kebun, kilang pemprosesan di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.Pencapaian Semasa Pensijilan Sektor Sawit, Kayu Bagi sektor sawit, sasaran MSPO untuk keluasan kawasan tanah pertanian bagi tahun 2023 adalah 98 peratus.Namun, pencapaian MSPO untuk keluasan kawasan tanah sudah mencapai 95 peratus sehingga September 2023.”Saya harap Malaysia akan dapat mencapai keseluruhan sasaran MSPO kerana kita mewajibkan MSPO kepada semua pengusaha sektor sawit, termasuk pekebun kecil, pengilang dan ladang-ladang sawit,” katanya.Bagi sektor kayu pula, Fadillah berkata Malaysia sudah mendapat enam Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) setakat ini.”Pencapaian itu penting sebenarnya sebab pasaran global memerlukan komitmen dari segi kemampanan alam sekitar untuk dipatuhi.”Jadi, kalau kita mahu kembangkan pasaran kita ke persada global, kita kena patuhi segala peraturan ataupun perundangan berhubung kait dengan kemampanan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau mana-mana negara yang mengeluarkan peraturan tersebut,” katanya.Peluang Anak Muda Ceburi Bidang Agrikomoditi Fadillah berkata, sektor agrikomoditi bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda tetapi turut membuka ruang untuk perniagaan.”Bagaimana mereka menterjemahkan kemahiran dan pengetahuan mereka ini dalam sektor perladangan? Misalnya, sektor perladangan sekarang sudah menggunakan dron, automasi dan mekanisasi, inilah galakan kepada belia untuk terlibat mengembangkan pengetahuan mereka.”Sebenarya peluang untuk mereka terlibat dalam sektor ini tidak terhad sebagai pekerja, tetapi lebih penting adalah untuk mereka mengembangkan pengetahuan mereka ini seperti membekalkan perkakasan yang diperlukan dalam sektor perladangan,” katanya.Memberi contoh lain, Fadillah berkata, anak muda juga boleh mengusahakan produk berasaskan koko yang kian mendapat permintaan daripada pasaran tempatan dan global.”Contoh lain ialah lada yang biasanya kita anggap sebagai rempah-ratus untuk masak semata-mata. Tetapi sekarang sudah ada teh lada, kopi lada, malah minyak wangi lada.”Maknanya, rakyat Malaysia sangat kreatif. Bila diberi peluang mereka boleh menghasilkan produk hiliran yang dapat memenuhi pelbagai pasaran termasuk sektor makanan, farmaseutikal dan nutraseutikal serta kecantikan,” katanya. – Bernama

Sumber