Bursa Malaysia dibuka tinggi, prestasi semalaman Wall Street melonjak

Bursa Malaysia dibuka tinggi, prestasi semalaman Wall Street melonjak

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, mengikuti kerancakan prestasi semalaman Wall Street selepas Rizab Persekutuan mengumumkan kenaikan kadar faedah terbesarnya untuk membendung inflasi, kata seorang peniaga.

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.34 mata kepada 1,471.39 daripada penutup semalam iaitu 1,459.05.

Indeks penanda aras itu dibuka 10.05 mata lebih tinggi kepada 1,469.10.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 344 berbanding 89, manakala 214 kaunter tidak berubah, 1,632 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 268.39 juta unit bernilai RM154.83 juta.

Menurut Public Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya, saham Amerika Syarikat (AS) dan harga-harga bon kerajaan meningkat semula selepas mencatatkan penurunan lima hari berturut-turut berikutan pengumuman Fed dalam usaha untuk memerangi inflasi yang tinggi.

Bank pusat AS meningkatkan kadar faedah penanda aras sebanyak 75 mata asas kepada antara 1.50 peratus dan 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), pada hari Rabu.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM8.68, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.50, Petronas Chemicals meningkat lapan sen kepada RM9.61, IHH Healthcare lebih tinggi sebanyak enam sen menjadi RM6.25 manakala CIMB menambah tujuh sen kepada RM5.03.

Bagi saham aktif, Jade Marvel naik satu sen kepada 91.5 sen, LGMS menokok 4.5 sen menjadi 81.5 sen, Dagang NeXchange peroleh 2.5 sen kepada 90 sen dan Unitrade untung satu sen kepada 29.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 83.21 mata kepada 10,514.97, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 88.39 mata kepada 10,705.57 dan Indeks FBM 70 lebih tinggi sebanyak 95.97 mata kepada 12,735.32.

Dalam pada itu, FBM ACE menokok 40.10 mata kepada 4,928.77 dan Indeks FBMT 100 melonjak 83.80 mata menjadi 10,237.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 120.29 mata kepada 16,288.36, Indeks Perladangan meningkat 39.32 mata menjadi 7,421.82 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.82 mata kepada 189.17. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber