Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

PETUNJUK pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat pada sesi dagangan awal hari ini didorong oleh saham wajaran tinggi terpilih, didahului oleh IHH Healthcare dan RHB Bank berikutan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2018.

Bagaimanapun, sentimen pasaran secara keseluruhan di Bursa Malaysia rendah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada pagi ini.

Pada jam 9.15 pagi, indeks petunjuk pasaran berada pada 1,716.88, naik 3.43 mata daripada 1,713.45 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka tinggi 1.93 mata kepada 1,715.38.

JF Apex Research berkata FBM KLCI dijangka diniagakan rendah kepada paras sokongan pada 1,700 mata susulan ketegangan yang meningkat antara India dan Pakistan.

“Pasaran AS ditutup tidak berubah semalaman susulan ketidaktentuan mengenai perjanjian perdagangan AS-China, dasar monetari Rizab Persekutuan dan ketegangan geopolitik antara India dan Pakistan. Terdahulu, saham Eropah merosot menjelang pertemuan antara pemimpin AS dan Korea Utara,” katanya dalam nota hari ini.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 184 berbanding 162, manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,341 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 237.92 juta saham bernilai RM130.90 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik 18 sen kepada RM5.84, RHB Bank meningkat 14 sen kepada RM5.73, Genting Bhd menokok 13 sen kepada RM7.45, PPB Group menambah 18 sen kepada RM18.68, Maybank naik dua sen kepada RM9.60 dan CIMB meningkat satu sen kepada RM5.87.

Public Bank dan Hong Leong Bank, masing-masing tidak berubah pada RM25.06 dan RM21.30, manakala TNB dan Petronas Chemicals, masing-masing merosot dua sen kepada RM13.46 dan RM9.27.

Daripada saham aktif, IFCA naik 3.5 sen kepada 29 sen, TH Heavy Engineering menambah setengah sen kepada 5.5 sen, Iris Corp tidak berubah pada 13 sen, KNM dan Dagang Nexchange, masing-masing susut 1.5 sen kepada sembilan sen dan 28 sen, manakala AirAsia berkurangan 20 sen kepada RM2.84, Seacera turun 3.5 sen kepada 31 sen.

Indeks FBM Emas naik 3.77 mata kepada 11,914.47, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.44 mata kepada 11,824.39 dan FBMT 100 menokok 6.37 mata kepada 11,782.23.

Indeks FBM Ace menambah 17.06 mata kepada 4,673.16, bagaimanapun FBM 70 merosot 63.47 mata kepada 14,135.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 35.33 mata kepada 17,903.86, Indeks Perladangan susut 1.68 mata kepada 7,277.52 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.34 mata kepada 168.75.- Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *