Bolehkah gunakan wali hakim jika bapa enggan nikahkan anak perempuannya?

WALI merupakan individu penting dalam suatu perkahwinan dan ia antara rukun nikah yang wajib dipenuhi.

Jika bapa masih ada, merekalah yang akan menjadi wali kepada perkahwinan anak perempuan mereka.

Namun, bolehkah seorang anak dara menggunakan wali hakim walaupun wali terdekat iaitu bapanya masih hidup, tetapi enggan mewalikan meskipun telah dipastikan bakal suami itu seorang yang kuat didikan agamanya dan baik keturunannya?

Bolehkah perkahwinan itu diteruskan atau perlukah juga mendapatkan keizinan daripada wali?

Sebelum menjawab soalan itu, kita perlu faham pengertian wali yang bermaksud kasih sayang atau pertolongan.

Dari segi syarak pula, ia bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain dan mengawasinya.

Dalam kitab alFiqh alManhaji menyebut, sebahagian ulama mendefinisikan perlaksanaan kuasanya atas orang lain itu sama ada orang itu suka atau tidak.

Pengertiaan itu juga termasuklah wali mujbir.


Justeru, wali hakim sama sekali tidak boleh digunakan selama masih ada wali daripada kalangan kerabat seperti bapa, datuk dan lain-lain.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka bersetuju sesama mereka dengan cara yang baik (yang dibenarkan oeh syarak). Demikianlah diberi peringatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kamu kepada ALLAH dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah) ALLAH mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah, ayat 232)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sultan menjadi wali kepada mereka yang tidak ada wali.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Bagaimapun, jika timbul persoalan wali enggan mengahwinkan perempuan berkenaan dan dikenali sebagai wali adil, maka boleh diwakilkan sultan (hakim) sekiranya lelaki itu benar-benar sekufu dengan wanita tersebut.

Namun, jika lelaki yang dipilih tidak sekufu, maka wali sebenarnya berhak menghalangnya.

Ini kerana, perempuan yang masih anak dara tidak banyak mengetahui berkenaan hal lelaki berbanding dengan wali.

Apapun, dicadangkan agar buatlah rundingan supaya persetujuan kedua-dua belah pihak sama ada wali atau dengan pasangan dapat mencapai satu kata sepakat.

Salah satu daripada matlamat perkahwinan adalah untuk meramaikan kelompok kekeluargaan dengan penuh kesatuan dan bukannya memporak-perandakan institusi kekeluargaan.

Biarlah ‘masjid’ yang dibina itu menyenangkan hati semua orang tidak kiralah baik pasangan berkenaan mahupun walinya.

(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *