Bahagia Diingkari, Cinta Dikhianati – ‘Sayang Tak Dikenang’

Bahagia Diingkari, Cinta Dikhianati – ‘Sayang Tak Dikenang’

Berdasarkan sebuah novel ‘Sayang Tak Dikenang’ karya Wazrul Shah, kini mula diadaptasikan sebagai sebuah drama terbitan FJ Pictures, arahan Feroz Kader mula ditayangkan 04 Mac 2022 lalu, setiap hari Isnin sehingga Ahad pada jam 7.00 malam setelah drama ‘3 Nota Cinta’ melabuhkan tirainya pada 03 Mac 2022 melalui episod 14.

‘Sayang Tak Dikenang’ menampilkan barisan pelakon-pelakon popular seperti Fadlan Hazim, Ruhainies, Ezzanie Jasny, Syafnida Shuhaimi, Andy Teh, Riz Amin, Meor Mohd, dan ramai lagi.

Drama bersiri 28 episod ini mengisahkan watak Ayu Izhani lakonan Ruhainies dan Hattin Isabella yang dilakonkan oleh Ezzanie Jasny merupakan dua pupu yang menuntut di kolej sama dan bersahabat baik walaupun hubungan keluarga mereka renggang. Mereka juga tinggal dibawah satu bumbung yang sama setelah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Konflik mula timbul dan merenggangkan hubungan mereka apabila Ayu dan Hattin berkenalan dengan seorang lelaki yang sama tetapi nama yang berbeza. Fadlan Hazim memainkan watak sebagai Raqib Tafzani memperkenalkan dirinya kepada Ayu sebagai Raqib manakala Hattin mengenalinya sebagai Tafzani. Disebabkan sikap Raqib yang rajin melayan keluarga Ayu, Ayu mula menerima kehadiran Raqib didalam hidupnya tambahan pula ibunya juga mendesak supaya Raqib dijadikan sebahagian daripada keluarga mereka dengan mengahwini Raqib.

Tafzani cuba menggoda Hattin selepas mengetahui gadis tersebut tidak lagi menjadi tunangan orang, Hattin merasakan hidupnya bahagia ketika bersama-sama Tafzani. Majlis perkahwinan Raqib dan Ayu tetap diteruskan kerana keluarga Raqib telah sampai di Malaysia walaupun Raqib ingin membatalkannya. Hattin yang hadir di majlis tersebut terus meninggalkan lokasi tersebut kerana terkejut melihat rupa-rupanya suami Ayu adalah Tafzani, seorang lelaki yang dikenalinya.

Selepas Ayu dan Raqib mendirikan rumah tangga, Raqib menjadi seorang suami yang dingin malah mula menunjukkan kebencian terhadap isterinya dengan mengambil tindakan tidak menyentuh Ayu selepas berkahwin. Pada masa yang sama, Raqib tidak berputus asa untuk memenangi hati dua pupu isterinya iaitu Hattin. Hattin juga bertindak menyakitkan hati Ayu kerana mahu membalas dendam untuk neneknya selepas mengetahui kisah silam keluarga mereka.

Ingin mengetahui apakah pengakhiran konflik yang berlaku kepada Ayu Izhani, Hattin Isabella dan Raqib Tafzani? Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton ‘Sayang Tak Dikenang’ menerusi slot Akasia TV3.