Pendakian ke puncak Gunung Kinabalu oleh Puan Seri Nisa Bakri dan NB Team

Menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu merupakan harapan dan impian orang ramai. Namun begitu, impian dan hasrat itu bukanlah dapat dicapai oleh semua orang, hanya individu tertentu sahaja yang dapat merealisasikan impian tersebut.

Keindahan pemandangan di puncak Gunung Kinabalu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Ianya perlulah dilihat dengan mata kasar sendiri tentang bagaimana keindahan dan kecantikkan pemandangan di atas puncak Gunung Kinabalu itu. Pelbagai perasaan yang akan dirasai oleh Puan Seri Nisa Bakri semasa melihat pemandangan yang indah itu. Gunung ganang dan bukit bukau seakan hidup dan memerhatikan kita membuatkan diri ini seakan semut kecil.

Seramai 6 orang ahli NB Team telah berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada 5 dan 6 Februari bersama-sama dengan Puan Seri Nisa Bakri. Begitulah perasaan yang dirasai oleh mereka semasa tiba di puncak Gunung Kinabalu.

Bagi Puan Seri Nisa Bakri, beliau bukanlah seorang yang aktif dalam aktivti pendakian. Justeru itu, ianya sedikit sebanyak menjadi satu cabaran buat beliau. Namun begitu berbekalkan semangat juang yang cekal dan pemikiran yang sentiasa berfikir positif, beliau berjaya menamatkan misi pendakian puncak Gunung Kinabalu bersama-sama dengan ahli-ahli NB Team.

Puan Seri Nisa Bakri berkata, “Saya berjaya melaksanakan misi ini kerana saya dikelilingi oleh rakan sepasukan yang sentiasa berfikiran positif dan sangat penting kita memiliki rakan sebegini dalam kehidupan seharian kita”. Menurut Puan Seri NIsa Bakri, kisah ini boleh dijadikan inspirasi tentang bagaimana pemikiran positif kita membolehkan kita mencapai apa jua impian yang kita impikan.

Tambah beliau lagi, semasa tiba puncak beliau tidak dapat menahan perasaan sebak beliau kerana terbayangkan wajah suami beliau iaitu Tan Sri Mohd Bakri Zinin iaitu merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Negara yang berpakaian lengkap beruniform semasa melangkah naik.

Tan Sri Bakri Zinin merupakan anak kelahiran Sabah yang sudah menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 7 kali. Beliau merupakan insan yang amat berharga buat Puan Seri Nisa Bakri kerana segala dorongan dan semangat yang diberikan oleh suaminya itulah yang membuatkan Puan Seri Nisa Bakri yakin dan percaya bahawa beliau juga mampu untuk menjadi salah seorang pendaki yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu walaupun beliau bukanlah daripada kalangan kelompok pendaki professional.

Kekuatan mental yang kuat dan kumpulan sokongan yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan amatlah diperlukan bagi memastikan kesemua ahli berjaya tiba di puncak bersama-sama.

Berdasarkan apa yang diceritakan oleh Puan Seri Nisa Bakri, beliau tidak dapat menggambarkan perasaan beliau dengan kata-kata dan hanya menangis seperti bayi. “Kita tak miliki apa-apa, ciptaan Tuhan begitu besar dan cukup indah, saya rasa kecil seperti semut dan rasa betapa kerdilnya kita”, kata beliau lagi.

Ini merupakan satu lagi pencapaian indah bagi Puan Seri Nisa Bakri dan NB Team kerana berjaya dalam misi pendakian Gunung Kinabalu. Selepas menerpa nama dalam dunia masakan dengan pelbagai menu istimewa atas nama “Nisabakri Gourmet”, aktif turun padang dalam pelbagai misi kebajikan dan kemanusiaan, serta misi pemerkasaan wanita.

Semoga orang ramai mendapat inspirasi dari perkongsian daripada pengalaman Puan Seri Nisa Bakri ini dan terus berusaha untuk memastikan apa jua impian dan harapan mereka dapat direalisasikan.