Hilmi (tengah) dan Norden (kiri) menyampaikan naskhah al-Quran kepada wakil kakitangan Malakat Mall.
CYBERJAYA – Pengajuran World #QuranHour memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya warga kerja Kumpulan Malakat Eco mengenai peri pentingnya menerapkan budaya al-Quran dalam kehidupan.
Ketua Pegawai Eksklusifnya, Hilmi Ismail berkata, pihaknya menggalakkan semua kakitangan membaca dan memahami al-Quran dengan membuka kelas al-Quran.
“Jika ada yang kadang-kadang membacanya atau langsung tidak tahu membaca, inilah peluangnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas program World #QuranHour di pusat membeli-belah itu, pada Selasa.
Menurutnya, surah Al-Sajdah yang diangkat sebagai surah pilihan pada pengajuran kali ini memberi peringatan kepada seluruh umat Islam.
“Terima kasih kepada Kumpulan Media Karangkraf dan sebagai sebuah pusat membeli-belah yang diwujudkan dengan ekosistem Islam, sudah tentu Malakat Eco menyokong dan mengambil kesempatan terhadap peluang ini,” katanya.
Sebelum itu, Hilmi menyerahkan lebih 100 naskhah al-Quran kepada kakitangan, operator kedai dan pengunjung pusat membeli-belah.
Program kemudiannya diakhiri dengan tadabbur al-Quran dan sesi bergambar.
Penganjuran World #QuranHour di Malakat Mall meriah.
World #QuranHour bertemakan ‘Dunia Bersujud’ tahun ini memilih surah As-Sajadah sebagai surah pilihan yang dibacakan secara serentak di seluruh dunia.
Sementara itu, Penasihat Media Malakat Mall, Norden Mohamed ditemui berkata, walaupun kali pertama pusat membeli-belah itu menyertai World #QuranHour, pihaknya komited untuk meneruskannya setiap tahun.
“Segala-galanya berjalan lancar dan sudah tentu Malakat Mall akan menyertainya tahun hadapan,” katanya.