WHBC Circuit 2023 ke United Kingdom, kembang pasaran halal global

WHBC Circuit 2023 ke United Kingdom, kembang pasaran halal global

PERSIDANGAN Perniagaan Halal Dunia 2023 (WHBC Circuit 2023) anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal menembusi pasaran United Kingdom (UK) pada 27 dan 28 Oktober ini.

Bertemakan ‘Peluang Halal Dalam Dunia Tanpa Sempadan’, acara selama dua hari di Royal Lancaster, London itu merupakan kesinambungan kejayaan syarikat berkenaan ketika penganjurannya di Melbourne, Australia pada tahun lalu.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, persidangan kali ke-15 itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam pembangunan ekosistem halal di dunia berdasarkan Indeks Ekonomi Islam Global serta meningkatkan akses kepada pasaran halal di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, penganjuran tersebut berupaya memperluaskan penjenamaan halal negara dengan mempromosikan produk dan industri halal ke peringkat global, menyumbang kepada peningkatan eksport, pelaburan serta kualiti.

“WHBC Circuit di London ini akan menumpukan kepada tiga teras iaitu promosi pelaburan, rundingan perdagangan dan mendorong bakat dengan kemahiran halal.

“Pasaran halal dunia ketika ini kira-kira tiga trilion dolar AS dan akan meningkat kepada lima trilion dolar AS pada 2030. Malaysia bersedia untuk meningkatkan sumbangan ekonomi halal kepada RM230 bilion pada 2030 atau 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM60 bilion pada 2022.

“Secara langsung atau tidak langsung, ia memberi kelebihan buat Malaysia. Kami (HDC) akan menangani cabaran industri untuk mempromosi peluang perniagaan halal dalam kalangan penggiat industri,” katanya ketika sesi temu mesra WHBC Circuit 2023 London di sebuah kafe di sini, pada Isnin.

HDC turut memperkenalkan beberapa rakan strategik seperti Halal Food Authority, ACO Water Management Sdn Bhd, Fraser & Neave Holdings Berhad, CPL Aromas (Malaysia) Sdn Bhd, Ramly Food Processing Sdn Bhd, London Tea Exchange UK, Thenoor, Malaysia Aviation Group Berhad, Ketengah Holding Sdn Bhd dan Digital Panacea Malaysia.

Antara agensi yang memberi sokongan adalah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Luar Negeri.

Sementara itu, Khairul menerangkan, persidangan tersebut bakal meneroka peluang kerjasama antara pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, kosmetik, rantaian bekalan, farmaseutikal, perkhidmatan kewangan, teknologi, sosial dan tadbir urus.

Tambahnya, ia dijangka menarik minat para pembuat keputusan, golongan diplomat, pemimpin industri, ahli akademik dan pengamal media dengan jangkaan penyertaan seramai 500 orang meliputi Malaysia, UK, Eropah, Singapura serta negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Jadi, kami bergerak ke hadapan dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal di peringkat global.

“Untuk persidangan ini, sudah ada 40 syarikat di dalam negara yang sertai, kami jangkakan 150 penyertaan dari Malaysia dan selebihnya di peringkat global,” ujar beliau.

Untuk makluman lanjut mengenai WHBC 2023, sila layari whbc.hdcglobal.com.

Sumber