Tumpu kelas terjemah bahasa Arab al-Quran sepanjang Ramadan

Tumpu kelas terjemah bahasa Arab al-Quran sepanjang Ramadan

Sebahagian peserta yang mengikuti kelas menterjemah bahasa Arab al-Quran di Akademi Al-Quran Al-Bayan, Ampang Utama.

Sebahagian peserta yang mengikuti kelas menterjemah bahasa Arab al-Quran di Akademi Al-Quran Al-Bayan, Ampang Utama.

SHAH ALAM – Akademi Al-Quran Al-Bayan, Ampang Utama mengimarah Ramadan melalui kelas menterjemah bahasa Arab al-Quran secara fizikal dan dalam talian.

Pentadbirnya, Nisreen Faihanah Zolkapli berkata, kelas yang disertai kira-kira 100 peserta itu memberi tumpuan kepada pembelajaran bahasa Arab menerusi al-Quran selain memahami dan mendalami kitab suci itu.

Menurut beliau, asas ilmu tatabahasa itu diperkenalkan kepada setiap peserta mengikut modul diberikan dalam bentuk video pelajaran, petunjuk dan jadual yang mudah difahami.

“Setiap peserta yang mengikuti kelas ini juga akan diuji kefahaman mereka dengan kuiz disediakan pada setiap peringkat untuk menentukan tahap kefahaman mereka menterjemah al-Quran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Nisreen Faihanah memberitahu, kaedah pembelajaran itu diharap dapat membantu peserta yang boleh mengaji al-Quran tetapi tidak mempunyai asas bahasa Arab.

“Apabila peserta memahami bahasa Arab, pembacaan al-Quran mereka lebih lancar dan boleh baca dengan baik sama seperti mereka membaca dalam bahasa Melayu atau Inggeris,” ujarnya.

Jelas beliau, pembelajaran bahasa Arab menerusi kalimah al-Quran juga membantu peserta mendalami isi kandungan mukjizat kurniaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Katanya, penganjuran kelas itu memasuki tahun kedua pada tahun ini yang dibimbing bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Norhaida Kasim.

“Kita berharap setiap peserta sekurang-kurang dapat menterjemah satu juzuk al-Quran surah al-Baqarah.

“Kita mahu umat Islam bukan sahaja boleh khatam al-Quran sepanjang Ramadan ini, malah boleh menghayati pengertian isi kandungan al-Quran seterusnya singgah di hati mereka sebagai penerang kehidupan,” jelasnya.

Menurut beliau, kelas secara percuma itu bermula dari jam 10 hingga 11 pagi dan 10 hingga 11 malam setiap hari kecuali pada Ahad.

“Kita berharap lebih ramai umat Islam menyertai kelas ini bagi meningkatkan kefahaman mereka untuk mempelajari bahasa Arab al-Quran,” tambahnya.

Sumber