Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

NILAI ringgit terus meningkat dan dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan pagi ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.3940/3980 berbanding dolar AS daripada kadar penutupan urus niaga Selasa 4.3990/4030.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS dilihat lemah apabila mata wang utama seperti euro dan yen Jepun mengukuh kepada AS$1.0844 setiap euro dan 130.77 yen bagi setiap dolar AS.

Beliau berkata, Indeks dolar AS (DXY) turun 0.42 peratus kepada 102.43 mata.

“Ini berlaku selepas Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan Amerika Syarikat (AS) meningkat lebih daripada jangkaan kepada 104.2 mata pada Mac berbanding jangkaan pasaran 101 mata, lebih tinggi daripada 103.4 mata pada Februari,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS turut mencadangkan bahawa kenaikan kadar perlu diteruskan untuk menurunkan inflasi di AS.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata, pelabur juga akan menantikan data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras (PCE) yang akan dikeluarkan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau percaya ringgit mempunyai kekuatan untuk terus meningkat berbanding dolar AS.

“Paras sokongan semasa ialah pada paras RM4.3297, justeru, terdapat jangkaan ringgit akan terus mengukuh. Gandingan dolar/ringgit diunjur berlegar antara RM4.39 dan RM4.40 hari ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun yang mana nilai mata wang tempatan telah meningkat kepada 3.3463/3498 daripada 3.3606/3642 semalam.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4209/4258 daripada 5.4046/4095 pada penutup Selasa dan lemah berbanding euro kepada 4.7662/7705 daripada 4.7580/7623 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN, tetapi mendatar berbanding dolar Singapura pada 3.3100/3132 daripada 3.3100/3135 semalam.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.06/8.09 daripada 8.07/8.09 pada Selasa, lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8277/8458 daripada 12.8288/8457 sebelumnya dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 291.20/291.60 daripada 291.60/291.90 semalam. – Bernama

Sumber