KUMPULAN Touch ‘n Go, melalui TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) yang merupakan pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet mengembangkan keupayaan pembayaran rentas sempadannya ke Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Ni berkata, penggunaan Touch ‘n Go eWallet di Singapura adalah untuk membayar tambang teksi ComfortDelGro di negara berkenaan.
Menurut beliau, keupayaan tersebut disediakan melalui kerjasama Alipay+ yang merupakan set pembayaran digital rentas sempadan antarabangsa yang dikendalikan oleh Ant Group.
“Ini adalah permulaan pengembangan perkhidmatan pembayaran kami ke Singapura. ComfortDelGro ialah pengendali rangkaian teksi terbesar di Singapura, mengendalikan kira-kira 9,000 teksi di seluruh bandar.
“Kami melihat ini sebagai peristiwa penting untuk mengembangkan cadangan pembayaran kami ke Singapura dan kami amat berbesar hati kerana dapat memberi kemudahan tambahan kepada pengguna kami.
“Apabila sempadan dibuka kembali dan perjalanan antarabangsa disambung semula, saya menjangkakan pengguna kami akan menikmati penggunaan eWallet apabila kami mempunyai lebih banyak titik penerimaan di Singapura, sama seperti di Malaysia.
“Kami akan terus mengembangkan rangkaian penerimaan kami pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bercakap mengenai kerjasama itu, Pengurus Besar Perkongsian Pembayaran Global Alipay+ Ant Group, Cheng Guoming berkata, Touch ‘n Go eWallet adalah rakan kongsi yang lama dan rapat dengan syarikatnya.
Jelasnya, ia juga adalah dompet mudah alih terkemuka di Malaysia yang memiliki lebih 17 juta pengguna tempatan untuk memenuhi keperluan kehidupan harian mereka daripada membuat pembayaran sehinggalah melabur.
“Kerjasama terbaharu dengan Alipay+ untuk membolehkan dan meluaskan lagi penggunaan rentas sempadannya menjadi satu lagi inovasi untuk membolehkan penggunanya mengembara dengan eDompet dan menikmati pengalaman pembayaran tanpa kerumitan dan lancar di luar negara asal mereka.
“Pada masa prapandemik, lebih 350,000 orang berulang-alik setiap hari antara Malaysia dan Singapura menyeberangi tambak. Dengan pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura, kerjasama dengan Alipay+ ini sememangnya tepat pada masanya,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kempen promosi untuk memperingati kerjasama baharu ini, pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh menikmati beberapa diskaun untuk meraikan pelancaran.
Pengguna layak mendapat diskaun segera, daripada RM4 dan RM6, daripada jumlah tambang mereka apabila mereka menaiki teksi ComfortDelGro pada aplikasi Touch ‘n Go eWallet sehingga 25 Jun 2022.
Diskaun berbeza pada minggu berbeza dan dihadkan pada 300 transaksi pertama setiap hari.
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang