TAHUKAH anda, kajian mendapati dianggarkan manusia menghabiskan masa selama 90,000 jam di tempat kerja. Persoalannya, adakah pejabat merupakan lokasi ideal untuk membantu kita menjadi individu lebih sihat dan ceria?
Jawapannya, ya sekiranya wanita mahupun lelaki bijak melakukan perubahan dan keseimbangan gaya hidup yang positif meskipun berada di pejabat.
Justeru, sempena Hari Kesihatan Lelaki Sedunia sepanjang bulan Jun ini, Forbes menyenaraikan tiga tip ringkas buat para jejaka untuk kekal aktif dan bertenaga ketika bekerja.
Gunakan teknologi untuk kekal sihat
Sejak lima tahun lalu, kira-kira 13 juta peranti yang dikeluarkan turut dilengkapi pelan yang membantu membimbing individu untuk mengamalkan gaya hidup sama ada di rumah, pejabat ataupun beriadah.
Antaranya ialah, aplikasi kiraan langkah yang mengalakkan masyarakat berjalan sebanyak 10,000 langkah setiap hari.
Ini termasuklah, aplikasi peringatan masa untuk minum air putih, kiraan kalori dan corak senaman ideal.
Makanan sihat di pejabat
Lazimnya, lelaki tidak begitu menitikberatkan aspek pemakanan khususnya sarapan pagi. Tabiat tersebut harus diubah dengan segera.
Jangan terlalu kerap menikmati kopi panas dan donut yang dipelawa rakan sepejabat sebaliknya, bawalah bekalan makanan sihat bebas garam dan perasa.
Kajian menunjukkan sebanyak 28 peratus individu yang memasak hidangan sihat di rumah kurang mengalami masalah bacaan indeks jisim tubuh (BMI) tahap obesiti dan pada masa sama membantu menjimatkan perbelanjaan makan di restoran.
Selain itu, simpan stok kekacang atau buah-buahan kering di meja pejabat berbanding makanan ringan yang akan menjejaskan produktiviti kerja anda.
Pilih minuman yang tepat
Selain pengambilan air putih sebanyak tiga liter pastikan anda menikmati jus buah tanpa gula untuk kesihatan diri.
Elakkan minuman berkafein terutamanya pada waktu tengah hari. Ini disebabkan ia akan memgambil 10 jam untuk memproses 75 peratus kafein dalam badan.