Pengerusinya, Abd Rashid Awang berkata, perancangan lawatan ke syarikat penerbitan tersebut yang tertunda selepas setahun, kini dapat direalisasikan dengan tujuan membuka minda ahli untuk menimba ilmu dan pengetahuan semasa dalam kalangan ahli.
“Ahli rombongan berpuas hati dapat melihat lebih dekat Kumpulan Media Karangkraf yang mengeluarkan pelbagai produk bahan bacaan termasuk al-Quran, Sinar Harian, buku dan novel.
“Kunjungan kami menjadi lebih bermakna dengan pengisian surah Al-Sajdah yang mengajak kita untuk tunduk dan bersujud kepada ALLAH SWT,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Safri Muhamamd Zein yang menjadi pentadabbur berkata, surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan dalam pelbagai program #QuranHour di bawah WUIF tahun ini.
“Surah Al-Sajdah yang menjadi tema sujud dan tunduk mengajak rakyat untuk sentiasa bersujud kepada ALLAH SWT. Terdapat tiga motivasi dalam surah tersebut. Pertama, yakin bahawa ALLAH Ar-Razaq, Pemberi Rezeki. Jika tidak percaya Ar-Razaq, golongan ini cenderung melakukan rasuah.
“Kedua, bersujud iaitu sebagai hamba yang taat kepada ALLAH akan bersujud dan tunduk. Ketiga, tidak sombong kerana mengakui ALLAH SWT memiliki segalanya. Jadi kesombongan diri terhapus dengan mengagungkan-Nya,” katanya.
Turut berkongsi taklimat, Timbalan Pengerusi KMK, Datuk Mohd Nasir Hamzah mengenai perkembangan KMK dan anak syarikat, produk al-Quran dan misi membanteras rasuah melalui Rasuah Buster.
Lebih 600 ahli terdiri daripada pesara kakitangan awam dari pelbagai agensi kerajaan di bawah PPKM Besut. Sebelum ini, aktiviti lawatan bermaklumat oleh persatuan tersebut pernah diadakan di luar negara seperti Thailand dan Indonesia.