Gandingan Dato Jamal Abdillah dan Zamani dalam Konsert “A Night To Remember”

Gandingan Dato Jamal Abdillah dan Zamani dalam Konsert “A Night To Remember”

Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah (kanan) dan Zamani bergambar berada sidang media konsert ‘A Night to Remember’ di Bukit Kiara, Kuala Lumpur

09 Februari 2022 – Selepas dua tahun tidak dapat menjayakan persembahan, Zamani akan berganding dengan Datuk Jamal Abdillah bagi menjayakan konsert “A Night To Remember” pada 26 Mac ini di Manhattan Ballroom Berjaya Hotel, Kuala Lumpur.

“A Night To Remember” berkonsepkan ‘Pop Night’  yang menggabungkan persembahan dan makan malam serta persembahan akan diiringi oleh Ritz Metalasia selaku pemain gitar, Fauzi Zain (bass), Ano NRG (dram), Sham Wings (gitar) dan Afiq (keyboard). Manakala Melissa, Oney dan Nuril selaku penyanyi latar.

Pada konsert itu, Jamal bercadang untuk menyanyikan lagu sahabat seperjuangan yang telah meninggal dunia sebagai penghargaan kepada mereka. Jamal akan mempersembahkan sebanyak 8 buah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama Zamani. Manakala Zamani pula akan menyanyikan lagu-lagu dari album solonya sebanyak enam buah lagu dan dua buah lagu duet bersama Jamal.

Penyanyi lagenda, Zamani bergambar selepas sidang media konsert ‘A Night to Remember’ di Bukit Kiara, Kuala Lumpur

Menurut Zamani, dia teruja untuk mengadakan konsert ini kerana sudah hampir dua tahun tidak mengadakan persembahan secara terbuka tetapi dia mengakui agak bimbang dengan angka jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.“Saya berharap segala perancangan akan berjalan dengan lancar dan angka jangkitan Covid-19 yang meningkat tidak akan menjejaskan persembahan kami,” katanya.

Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah bergambar selepas sidang media konsert ‘A Night to Remember’ di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Jamal pula berkata, dia amat menitikberatkan kesihatan memandangkan keadaan situasi yang tidak menentu.“Perkara utama yang saya perlu perhatikan adalah kesihatan. Sebelum menjelang konsert, sebenarnya saya ada beberapa lagi jemputan persembahan lain. Jadi saya memang sentiasa berjaga-jaga supaya tidak hilang suara pada malam konsert,” katanya.

Tiket untuk makan malam anjuran Imaginex boleh didapati menerusi Ilassotickets yang dijual sejak 8 Februari lalu. Tiga buah meja VVIP berharga RM11,900 (RM1,700) seorang, 22 buah meja VIP berharga RM6,600 (RM1,100) seorang, 32 buah meja Platinum berharga RM5,400 (RM900) seorang, 16 buah meja Premium berharga RM4,900 (RM700) seorang dan 26 buah meja Gold berharga RM3,850 (RM550) seorang.