SESI WALKABOUT YB TIMBALAN MENTERI KPDN DI BAZAR RAMADAN RAHMAH (BRR) WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

SESI WALKABOUT YB TIMBALAN MENTERI KPDN DI BAZAR RAMADAN RAHMAH (BRR) WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Lorong Tuanku Abdul Rahmah, Kuala Lumpur, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, telah menganjurkan sesi walkabout hari ini.

Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) adalah inisiatif terbaru Kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan. Ini termasuklah dengan menggalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu RAHMAH kepada pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan pada tahun ini.

Antara kriteria BRR adalah sebahagian peniaga menawarkan Menu RAHMAH, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa RAHMAH serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti. Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada Kerajaan.

Sehingga kini, sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuklah 3 lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyantuni rakyat di sekitar Kuala Lumpur sepanjang bulan Ramadan ini. 3 lokasi BRR di sekitar WP Kuala Lumpur yang menyertai inisiatif ini iaitu di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Tempat Letak Kereta Lorong TAR Lot 4, dan di 2 Jalan Raja (Hadapan Gereja). Untuk makluman, jumlah keseluruhan peniaga yang beroperasi bagi 3 lokasi BRR ini adalah 41 peniaga dan kesemuanya menawarkan Menu RAHMAH.

Pada masa yang sama, KPDN juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna/ peniaga dalam bentuk e-wallet dengan kerjasama penyedia e-wallet di BRR tersebut tertakluk kepada 500 pengguna terawal.

KPDN WP Kuala Lumpur merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Persatuan Food Truck Kawasan Masjid India di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Inisiatif BRR dan ReDI ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Kuala Lumpur di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.