Rutin padat Bilal untuk bergelar hafiz

RUTIN yang direntas Khaer Farish turut sama dengan apa yang dilalui Syed Muhammad Bilal Syed Helmy atau Bilal.

Bilal merupakan pelajar tingkatan lima Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Shah Alam. Beliau mula bersekolah di situ sejak empat tahun lalu. Bezanya, Bilal merupakan pelajar tahfiz akademik. Selain belajar tahfiz, Bilal juga perlu menyeimbangkan pengajiannya dengan subjek akademik yang lain seperti Matematik, Sains, Sejarah dan sebagainya.

Ujar Bilal, 18, cabaran paling besar dalam menghafaz al-Quran adalah mengulang hafalan selepas habis 30 juzuk al-Quran.

“Bagi seorang hafiz, ia 1,000 kali lebih susah daripada hafalan yang baharu. Sebab dalam tempoh waktu menghafaz 30 juzuk itu, ada ustaz dan ustazah yang beri bimbingan.

“Bila sudah habis 30 juzuk, saya terpaksa mengulang sendiri. Walaupun masih ada juga bimbingan dari ustaz dan ustazah tetapi mereka akan lebih memfokuskan kepada pelajar yang belum habis hafal,” katanya yang tamat menghafal 30 juzuk al-Quran pada 26 Januari 2018.

Sepanjang dalam tempoh hafalan, Bilal akan bangun seawal pukul 4 pagi.

Bilal (duduk, belakang) ketika di dalam kelas menghafaz al-Quran.

Bilal (duduk, belakang) ketika di dalam kelas menghafaz al-Quran.

Anak muda ini terlebih dulu akan mengemas bilik dan bersiap sedia untuk melakukan qiamullail pada pukul 5 pagi.

“Bagi saya, antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi, ia adalah waktu mutiara bagi saya kerana tempoh yang paling mudah hendak hafal ayat-ayat baharu.

“Kelas untuk tasmik akan bermula jam 7 hingga 8.30 pagi, kemudian ulang balik bacaan dari pukul 9.30 hingga 10.30 pagi. Selepas itu, kira-kira pukul 11 pagi, saya akan belajar akademik hingga pukul 2 petang. Petang pula ada aktiviti kokurikulum yang berbeza setiap hari,” jelasnya yang akan menyambung hafalan ayat baharu pada pukul 8 malam.

Jaga pemakanan

Bilal meneruskan naratif cerita yang membuatkan penulis teruja untuk mendengar. Ujar Bilal, antara perkara paling penting dalam hafalan al-Quran ialah pemakanan.

“Antara yang wajib dimakan setiap hari adalah minum madu dan makan vitamin C sebelum tidur. Selain itu, Pak Haji (Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Mohammad Bokhari Shariff) juga ada sediakan kismis dan kurma untuk kami makan.

“Apa yang menjadi pantang larang bagi kami ialah makanan segera, makanan proses seperti burger, organ dalaman dan asam jeruk. Untuk makanan yang lain, kami juga seperti orang lain, makan lauk seperti kebanyakan orang,” ujarnya.

BILAL

BILAL

Pada saat remaja seusianya leka dan obses dengan telefon pintar, pendekatan itu dihindari oleh Bilal. Ya, beliau tiada langsung telefon bimbit!

“Memang saya pernah minta daripada mak dan ayah tetapi mak tak bagi sebab hendak menjaga hafalan al-Quran saya. Mak takut saya lalai.

“Tengok televisyen pun ada masa tertentu. Dalam sehari, dari pukul 10 pagi hingga sebelum waktu Zuhur saja saya boleh tonton. Tapi selalunya saya tak menonton sebab bosan,” jelasnya.

Walaupun cuti sekolah, namun aktiviti mengulang bacaan al-Quran dan mengulang kaji pelajaran perlu diteruskan Bilal. Pihak sekolahnya menyediakan sistem Borang Cuti Sekolah yang memerlukan segala aktiviti dilakukan di rumah dicatat dan ditandatangani ibu bapa.

“Mak biasanya akan tanya dulu aktiviti saya buat sebelum turunkan tanda tangan setiap hari. Saya sendiri pun rasa hidup saya tidak lengkap jika tak baca al-Quran sehari.

“Pernah saya tertidur dan tidak mengulang bacaan, saya rasa macam nak marah orang dan hati gundah-gulana. Sebab itu saya perlu baca al-Quran setiap hari,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *