Hidup Khaer Firash tidak lengkap tanpa al-Quran

Hidup Khaer Firash tidak lengkap tanpa al-Quran

APABILA melihat kanak-kanak mengalunkan ayat al-Quran, pasti hati kita akan tersentuh. Emosi kita akan berlebihan tatkala anak-anak kecil sudah mampu menghafal ayat-ayat suci. Hebat bukan, sejak kecil sudah bergelar hafiz.

Pada akhir zaman ini, ibu bapa sangat dianjurkan untuk menyuntik kesedaran dan minat anak mereka terhadap kitab suci ini. Ketahuilah, al-Quran adalah penyembuh, sahabat karib dan panduan paling afdal untuk kita mengharungi kehidupan di alam fana ini.

Sifat penulis yang ingin mengetahui bagaimana rutin seorang hafiz mendorong penulis menemui beberapa kanak-kanak hebat yang mengabdikan kehidupan mereka dengan bacaan indah ayat-ayat suci.

Ternyata hasil temu bual, Sinar Islam merumuskan bahawa bukan satu tugas mudah untuk menghafal 30 juzuk al-Quran. Terlalu banyak cabaran dan ranjau perlu diredah.

Apabila sudah bergelar hafiz pula, ada liku lain pula yang terpaksa dihadapi. Ya, untuk mengingat semua ayat yang sudah dihafal! Perlukan istiqamah dan sentiasa mengulang dan konsisten.

Kepada Sinar Islam, pelajar Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) cawangan Shah Alam, Khaer Farish Mohamed Irdzam, 12, menceritakan pola rutin untuk bergelar seorang hafiz.

“Apa yang saya kongsikan, banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk menghafal 30 juzuk al-Quran. “Seperti saya, saya perlu ke akademi setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 6 petang. Selepas itu, seawal pukul 9.30 malam saya sudah masuk tidur. Hari Ahad adalah hari cuti,” ujarnya.

Pun begitu, sebagai hafiz, Khaer Farish tidak akan sama sekali meninggalkan al-Quran meskipun sehari.

“Saya memang akan ulang dan ulang (hafalan), takut tak ingat. Ustaz saya pernah pesan, kalau kita tinggalkan al-Quran sehari, al-Quran akan tinggalkan kita selama 10 hari. Kalau kita tinggalkan al-Quran 10 hari, al-Quran akan tinggalkan kita 100 hari.

“Sebab itulah saya tak nak tinggalkan al-Quran. Saya tak nak al-Quran tinggalkan saya,” bicaranya dengan nada bersungguh.

Elak TV, telefon

Benarkah pelajar hafiz tidak boleh menonton televisyen? Jawab Khaer Farish berterus-terang: “Memang tak boleh tengok televisyen dan telefon pintar. Mak saya cukup jaga hal ini. Saya hanya boleh menonton setiap hari Isnin hingga Sabtu iaitu selepas pulang dari akademi pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam. Selepas itu, saya perlu mengaji.”

KHAER FIRASH

KHAER FIRASH

Bual bicara anak pintar semakin rancak. Kali ini, beliau galak bercerita tentang kisah bagaimana beliau mula masuk ke Akmal. Ceritanya, hal itu dicadangkan oleh kedua ibu bapanya.

“Sebenarnya, sebelum ini saya pernah menghafal juz amma (juzuk ke-30 dalam al-Quran) ketika bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi Shah Alam sebelum ini. Bila masuk sekolah tahfiz, saya rasa sangat teruja hendak menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa setahun,” jelasnya yang memasuki sekolah tahfiz sepenuh masa dan berulang-alik dari rumah ke akademi setiap hari.

Bermula dengan satu muka surat al-Quran bagi hafalan baharu sehari, Khaer Farish mula mendapat ‘rentak’ selepas sebulan di akademi berkenaan.

“Sehari, maksimum, saya boleh hafal enam muka surat sehari bagi hafalan baharu. Akhirnya pada 12 Disember 2018, saya berjaya menghabiskan 30 juzuk al-Quran iaitu selama 261 hari tidak termasuk hari cuti dan cuti sakit,” ujarnya yang kini dalam proses mendapatkan sijil syahadah bagi memantapkan bacaan dan hafalan di akademi itu.

Meskipun kini bergelar hafiz, Khaer Farish memberitahu Sinar Islam, dirinya menyimpan impian untuk bergelar seorang doktor suatu hari nanti.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge