Rumah Ngaji Teluk Muroh bakal kolaborasi dengan TLDM

Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bakal mengadakan kerjasama dengan TLDM sempena Ramadan menjelang program World #QuranHour.

Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bakal mengadakan kerjasama dengan TLDM sempena Ramadan menjelang program World #QuranHour.

IPOH – Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bakal bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjayakan program Jiwa Murni Bersama Asnaf pada 11 April ini menjelang sambutan World #QuranHour.

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, penglibatan bersama TLDM itu merupakan usaha kolaborasi baharu dalam meluaskan lagi peranan Rumah Ngaji kepada masyarakat.

Menurutnya, menerusi program berkenaan, golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan akan disantuni serta diberikan sumbangan bagi mengurangkan beban.

“Ini merupakan julung kali diadakan bersama TLDM dan bagi pihak Rumah Ngaji memang kita sangat berbesar hati apabila mereka sudi untuk bersama-sama kita menjayakan program tersebut.

“Pada program itu nanti, akan diadakan juga sesi bacaan al-Quran dan tadabur sebelum majlis penyampaian sumbangan serta majlis berbuka puasa bersama ahli Rumah Ngaji dan warga TLDM yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Maziah berkata, pihaknya akan menyumbang kotak makanan kepada kira-kira 50 orang asnaf di sekitar Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh dan pemegang Panji-panji Al-Insan.

Menurutnya, program tersebut turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Agensi Antidadah Kebangsaan Manjung dan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) Teluk Muroh serta Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Abdul Razak Nazri.

Katanya, orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang juga dialu-alukan supaya lebih ramai lagi penerima mendapat manfaat.

Beliau berkata, bagi mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama di dalam program tersebut boleh berhubung terus di talian 019-5774793.

Sumber