LBS jalin kerjasama SANY Group bina 10,000 unit hartanah

LBS jalin kerjasama SANY Group bina 10,000 unit hartanah

PEMAJU hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat pengeluar peralatan berat, SANY Group Co Ltd (SANY Group) bagi membangunkan 10,000 unit hartanah di seluruh Asia, dengan nilai projek berkenaan sebanyak RM3 bilion.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, kerjasama itu juga melibatkan pelaburan kira-kira RM8 bilion untuk pelabuhan pintar laut dalam dan membina pusat setempat Hab Pelabuhan Industri 4.0 di Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

Ujarnya, ia terdiri daripada zon perdagangan bebas, minyak dan taman perindustrian cecair gas asli serta perniagaan berkaitan pelabuhan yang menggunakan kepakaran.

“Sejak 2017, kami telahpun bekerjasama dengan SANY Group dalam menjalin usaha sama untuk memulakan kilang konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Kita berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan SANY Group bagimeneroka sinergi bagi kedua-dua pembangunan hartanah dan pembangunan industri di seluruh Asia serta pembangunan pelabuhan di Melaka.

“Selain turut berhasrat untuk menjadi pemaju terkemuka di peringkat serantau dan berharap ianya tercapai melalui penggunaan produk konkrit pra-tuang IBS,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan di China World Hotel Beijing, China, yang mana Hock San telah menandatangani bagi pihak LBS manakala SANY Group diwakili oleh Presidennya, Tang Xiu Guo.

Hock San (dua dari kanan) dan Xiu Guo menyerahkan dokumen perjanjian masing-masing yang diadakan di China World Hotel Beijing, China.

Hock San (dua dari kanan) dan Xiu Guo menyerahkan dokumen perjanjian masing-masing yang diadakan di China World Hotel Beijing, China.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut Hock San, pihak mereka optimis untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Melaka menerusi pembangunan pelabuhan perindustrian.

Tambah beliau, perjanjian tersebut berkuat kuasa pada 1 April selama satu tahun dengan lanjutan secara automatik untuk tempoh sama, melainkan perjanjian tersebut diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Sebelum itu, SANY Group merupakan peneraju global dalam bidang kejuruteraan mesin, pengeluaran perkilangan dan disenaraikan oleh Forbes sebagai syarikat yang ke-468 terbesar di dunia.

Berpangkalan di China, SANY Group merupakan syarikat pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia dan terkenal dengan produk inovatif dan berkualiti tinggi.

Syarikat berkenaan juga pengeluar utama peralatan berteknologi tinggi dan terlibat dalam aktiviti pembinaan am dengan 20 buah pusat penyelidikan serta pembangunan (R&D), pembuatan kereta, peralatan mesin pelabuhan, industri tenaga baharu, reka bentuk seni bina, internet industri dan pengeluar produk konkrit pratuang dengan jalin- an kerjasama di 150 buah negara

Sumber