Ringgit terus lemah berbanding dolar AS

Ringgit terus lemah berbanding dolar AS

RINGGIT meneruskan momentum lemah menjelang akhir dagangan hari ini untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Seorang penganalisis berkata, momentum lemah itu berlaku berikutan pelabur mengalihkan tumpuan kepada tiga mesyuarat bank pusat utama pada minggu ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan ditutup pada 4.6175/6220 berbanding dolar AS daripada 4.6115/6160 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit bergelut untuk tidak selari daripada kelemahan yuan menjelang data aktiviti China yang akan dikeluarkan pada Jumaat.

“Di luar rantau ini, fokus pada minggu ini adalah kepada tiga bank pusat utama, Rizab Persekutuan (Fed) AS, Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank of Japan.

“Walaupun prospek kenaikan kadar ECB adalah negatif terhadap ringgit berbanding mata wang Eropah lain, semua tukaran asing Asia tertumpu kepada Fed yang dijangka dengan pendirian cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan menandakan kenaikan kadar pada Julai, yang masih menjejaskan ringgit daripada perspektif perbezaan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, pelabur ringgit masih bimbang dengan ekonomi China.

“Sehubungan itu, sekiranya data aktiviti China pada minggu ini adalah tidak memberangsangkan, keadaan ini boleh menyebabkan People’s Bank of China untuk melemahkan mata wang itu menerusi penurunan kadar dan ringgit kemudiannya akan merosot.

“Sekiranya pihak Fed masih berpendirian untuk menaikkan kadar faedah, satu lagi kenaikan daripada ECB, dan kemungkinan penurunan kadar dari China boleh memberikan kesan negatif di peringkat tempatan dalam jangka pendek,” kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.8157/8214 daripada 5.7819/7875 sewaktu ditutup pada Jumaat, rendah berbanding euro kepada 4.9804/9853 daripada 4.9611/9659 dan yen Jepun iaitu 3.3162/3197 daripada 3.3022/3059 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4408/4444 daripada 3.4294/4330 pada Jumaat, menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.3400/3599 daripada 13.3196/3376, hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 310.6/311.0 daripada 310.6/311.2 dan berada pada 8.23/8.25 berbanding peso Filipina daripada 8.23/8.24. – Bernama

Sumber