Ringgit ditutup tinggi selepas langkah diambil BNM, China

Ringgit ditutup tinggi selepas langkah diambil BNM, China

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa buat hari kedua berturut-turut berikutan kesanggupan mengambil risiko yang semakin baik selepas langkah oleh bank pusat Malaysia dan China untuk menamatkan kemerosotan mata wang masing-masing.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan ditutup kepada 4.6640/6685 berbanding dolar AS daripada 4.6760/6805 pada Isnin.

Sebelum itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Menurut Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani, walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, bank pusat menjangka langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik.

Mengulas selanjutnya, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit diniagakan lebih kukuh pada Selasa berikutan dolar AS lemah berbanding pertukaran asing Asia susulan laporan bahawa bank-bank utama milik kerajaan China dilihat menjual dolar di pasaran pertukaran asing luar pesisir.

“Sehubungan itu, tindakan tersebut telah mengurangkan trajektori kelemahan yuan China. Kekukuhan yuan membantu ringgit untuk menamatkan kemerosotannya hari ini,” katanya.

Yuan China meningkat pada Selasa selepas bank pusat melaksanakan penetapan hariannya lebih kukuh berbanding jangkaan pasaran.

Sewaktu ditutup, mata wang tempatan lebih kukuh berbanding pound Britain kepada 5.9326/9383 daripada 5.9487/9551 pada penutupan Isnin dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2425/2458 daripada 3.2624/2661.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding euro kepada 5.1043/1092 daripada 5.0917/0971.

Mata wang tempatan juga lemah berbanding mata wang ASEAN lain kecuali berbanding baht Thailand.

Ringgit turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4553/4592 daripada 3.4536/4575 pada Isnin dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.39/8.40 sebelum ini.

Mata wang itu juga tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 311.0/311.5, namun meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2155/2342 daripada 13.2733/2954. – Bernama

Sumber