Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7255/7300 berbanding dolar AS daripada 4.7285/7320 semasa ditutup pada Rabu. - Gambar hiasan

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7255/7300 berbanding dolar AS daripada 4.7285/7320 semasa ditutup pada Rabu. – Gambar hiasan

RINGGIT mencatat peningkatan kecil berbanding penyusutan semalam apabila ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan bon Perbendaharaan AS merosot daripada paras tertinggi dalam tempoh 16 tahun, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7255/7300 berbanding dolar AS daripada 4.7285/7320 semasa ditutup pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, data penggajian swasta AS yang dikeluarkan pada Rabu yang rendah daripada jangkaan serta trend penyusutan berterusan harga minyak telah menyebabkan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS yang menjadi penanda aras, merosot daripada paras tertinggi baharu dalam tempoh 16 tahun pada pertengahan minggu.

Hasil Perbendaharaan 10 tahun itu kali terakhir diniagakan pada 4.735 peratus selepas meningkat sehingga 4.884 peratus pada Rabu, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 16 tahun.

Beliau berkata, pada masa ini, pelabur menantikan laporan penggajian syarikat barangan, pembinaan dan pembuatan di AS pada Jumaat.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1719/1751 daripada 3.1703/1729 pada Rabu, menyusut berbanding euro kepada 4.9651/9698 daripada 4.9645/9681, namun menokok berbanding pound Britain kepada 5.7283/7337 daripada 5.7343/7385.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Unit tempatan itu susut berbanding baht Thailand kepada 12.7927/8115 daripada 12.7549/7685 pada Rabu, tetapi hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 302.4/303.0 daripada 302.4/302.8 sebelum ini.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.35 berbanding 8.34/8.35 pada Rabu dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4442/4478 daripada 3.4462/4492 sebelumnya. – Bernama

Sumber