Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, mengambil petunjuk daripada mata wang China, yuan, yang meningkat ketara susulan lebih banyak sokongan daripada People’s Bank of China.

Dolar AS juga kekal kukuh menjelang data inflasi AS dikeluarkan lewat hari ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5690/5720 berbanding dolar AS daripada 4.5705/5755 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini berbanding dolar AS.

Beliau berkata, ekonomi China terus mendapat perhatian susulan penguncupan data perdagangan dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang negatif baru-baru ini.

Ini menunjukkan China memerlukan rangsangan ekonomi untuk berkembang pada kadar mampan bagi separuh kedua 2023, katanya.

“Malam ini, tumpuan akan diberikan kepada IHP AS yang dijangka meningkat sedikit kepada 3.3 peratus pada Julai daripada 3.0 peratus pada bulan sebelumnya, manakala IHP teras berkemungkinan kekal pada 4.8 peratus.

“Dalam beberapa keadaan, nampaknya terdapat kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang memerlukan dasar monetari yang akomodatif. Walau apapun keadaannya, situasi penghindaran risiko boleh membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit ditutup dengan sedikit perubahan apabila pelabur mengelak daripada menyatakan pendapat kukuh sementara menunggu data IHP AS dikeluarkan.

“Bagaimanapun, saya percaya pasaran kini cenderung kepada pendekatan yang lebih semula jadi. Walaupun harga minyak mentah yang lebih tinggi biasanya menguntungkan ringgit, ini mungkin tidak berlaku jika ia mengakibatkan peningkatan hasil AS.

“Akibatnya, kita mungkin menyaksikan pertembungan antara kenaikan harga tenaga dan hasil AS yang lebih tinggi, terutama jika data inflasi AS melebihi jangkaan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding pound British kepada 5.8296/8334 daripada 5.8187/8251 ketika ditutup pada Rabu serta lemah berbanding euro kepada 5.0350/0383 daripada 5.0175/0230.

Walau bagaimanapun, ringgi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1760/1783 daripada 3.1897/1934 sebelum ini.

Pada masa sama, unit tempatan didagangkan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN yang lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3948/3975 daripada 3.3979/4021 pada penutupan dagangan Rabu, serta stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 300.8/301.2 daripada 300.9/301.3 semalam.

Unit domestik naik berbanding peso Filipina kepada 8.12/8.13 dari 8.13/8.14 semalam dan meningkat berbanding baht Thailand pada 13.0112/0264 daripada 13.0791/0998 sebelum ini. – Bernama

Sumber