Ringgit dijangka susut berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka susut berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR – Prospek ekonomi global yang tidak menentu dijangka terus mempengaruhi prestasi ringgit yang diunjur susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini juga berkait rapat perbincangan mengenai kelembapan ekonomi pada masa akan datang yang terus menjadi tumpuan serta kebimbangan ramai.

“Beberapa siri laporan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) akan diumumkan minggu depan dengan jangkaan ramai menyatakan sentimen perniagaan akan terus menyederhana.

“Pada masa ini misalnya, paras rintangan bagi dolar AS berbanding ringgit adalah sekitar 4.45. Jika mengambil kira ketidaktentuan semasa, ia mungkin dalam jajaran sedemikian selagi kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi global terus ketara,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dolar AS di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemungkinan bank pusat di seluruh dunia menaikkan kadar faedah dalam usaha mengekang peningkatan inflasi.

Malah, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) membuat kejutan pada mesyuaratnya minggu ini dengan mengumumkan keputusan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 peratus kepada lingkungan 1.50-1.75 peratus.

Seorang peniaga berkata, inflasi yang terus meningkat mendadak telah memaksa bank pusat tersebut untuk bertindak menaikkan angka kadar faedah terbesar sejak 1994.

Ini turut disusuli dengan tindakan serupa oleh bank-bank pusat di serata Eropah pada Khamis, sekali gus membayangkan kenaikan kos pinjaman bagi meredakan inflasi yang sebaliknya akan menjejaskan simpanan serta keuntungan korporat.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan hampir tidak berubah berbanding dolar AS iaitu di paras 4.4000/4040 pada Jumaat berbanding 4.4000/4030 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama bagi asas Jumaat hingga Jumaat.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1753/1786 daripada 3.1856/1880 pada minggu sebelumnya dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2655/2688 daripada 3.2870/2895 sebelum ini.

Ia turut mengukuh berbanding euro kepada 4.6314/6357 daripada 4.6618/6650 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4208/4257 daripada 5.4784/4822 pada minggu lepas. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber