Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang ASEAN utama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang ASEAN utama

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang ASEAN utama menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan, disokong oleh harga minyak yang meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.6720/6760 berbanding dolar AS daripada 4.6755/6805 pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit dibuka lebih kukuh berikutan aktiviti pengambilan untung dolar yang panjang dan harga minyak yang tinggi disebabkan gangguan bekalan susulan bencana banjir di Libya.

“Peniaga membeli banyak dolar AS sejak dua minggu lepas berikutan ekonomi AS yang berdaya tahan dan hasil AS yang lebih tinggi.

“Berdasarkan pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS merupakan peristiwa yang berisiko tinggi untuk pasaran mata wang, peniaga mengurangkan risiko dolar AS sekiranya data lebih rendah daripada jangkaan dan dolar akan dijual dengan agak agresif,” katanya.

Pada masa sama, Innes berkata, data ekonomi China menunjukkan tanda-tanda stabil, yang positif untuk pasaran pertukaran asing Asia, tetapi tumpuan tetap kepada IHP AS yang akan dikeluarkan malam ini, yang dijangka akan memberikan dolar hala tuju jangka pendek yang seterusnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.1718/1747 daripada 3.1849/1886 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.8372/8422 daripada 5.8299/8361 dan berkurangan berbanding euro kepada 5.0266/0309 daripada 5.0131/0184 sebelum ini.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4325/4360 daripada 3.4338/4378 pada Selasa dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.25/8.26 semalam.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0967/1127 daripada 13.1157/1349 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 304.5/304.9 daripada 304.7/305.2 sebelum ini. – Bernama

Sumber