Rancang segera pembahagian harta

Sikap sesetengah masyarakat yang menganggap pengurusan harta pusaka hanya boleh diselesaikan melalui pembahagian secara faraid selepas kematian, merupakan antara penyebab berlakunya kelewatan pembahagian harta pusaka kepada waris. Kelewatan urusan pembahagian harta pusaka juga akan berlaku sekiranya waris-waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan ahli-ahli waris si mati. Keadaan ini akan menyebabkan harta-harta si mati terutamanya hartanah (harta tak alih) akan menjadi beku dan tidak memberikan pulangan ekonomi yang sewajarnya.

Keadaan ini juga akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi kekeluargaan yang membawa kepada pertelingkahan. Hal ini disebabkan terdapat waris yang menduduki harta si mati tanpa persetujuan waris-waris lain atau mengambil harta si mati tanpa kebenaran. Kemelut kepada bekunya sesuatu harta pusaka mampu ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat kita membuat perancangan awal sebelum meninggal dunia.

Tiga perkara penting kenapa perlu merancang dan membahagi harta semasa hidup:

1)Supaya kita dapat melakukan amal jariah untuk diri kita;

2)Supaya kita dapat memberi harta kepada orang yang kita sayang; dan

3)Supaya kita dapat memastikan waris kita tidak menagih simpati daripada orang lain.

Kita amat digalakkan untuk menyediakan bekalan sedekah jariah sebelum menemui ALLAH SWT. Dalam hal ini, seseorang boleh membahagi hartanya semasa hidup secara sedekah dan wakaf, sama ada dalam bentuk harta alih dan harta tak alih. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila matinya manusia, akan terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Muslim).

Kita juga digalakkan untuk memberikan harta kepada yang disayangi seperti anak angkat atau waris yang terhalang daripada menerima harta pusaka secara wasiat. Ia bermakna, kita boleh menyediakan perancangan tersebut semasa hidup dan dilaksanakan sebaik sahaja kita meninggal dunia pada kadar tidak melebihi daripada 1/3 harta pusaka kita. Semua masyarakat perlu sedar akan kepentingan menulis surat wasiat kerana ia merupakan kaedah yang membolehkan seseorang yang terhalang daripada menerima harta pusaka, menikmati sebahagian daripada hasil titik peluh kita selama ini.

Kelebihan menulis surat wasiat antara lain mampu mempercepatkan proses pembahagian harta, mengelak persengketaan antara waris di samping dapat melantik wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan. Walau bagaimanapun, sekiranya kita ingin memberikan harta pusaka itu secara langsung pada masa hidup, boleh lakukannya secara hibah. Pemberian secara hibah tidak mempunyai had dan sesiapapun boleh menerimanya termasuk waris.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan apabila harta-harta diagihkan terlebih dahulu kepada anak-anak sebelum mereka meninggal dunia akan menyebabkan anak-anak mengabaikan dan menyisihkan mereka. Sememangnya, sebagai pemilik harta, kita juga ingin memastikan waris-waris akan memperoleh harta pusaka itu nanti. Kita juga tidak mahu waris-waris ini meminta-minta dan menagih simpati daripada mana-mana pihak kelak. Oleh demikian, perancangan pembahagian harta yang berkesan perlu dilaksanakan segera semasa kita masih hidup ini supaya tidak menyulitkan waris-waris di masa akan datang.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *