#QuranHour For Gaza: Peranan media sebar kesedaran solidariti

#QuranHour For Gaza: Peranan media sebar kesedaran solidariti

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: NAMANZEE

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: NAMANZEE

SHAH ALAM – Pengamal media perlu bersatu dalam menguar-uarkan program atau kempen mengenai solidariti bersama rakyat Palestin sebagai salah satu cara memastikan masyarakat dunia mengetahui penderitaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, media mempunyai pengaruh yang besar dalam menyebarkan maklumat dan ia perlu dimanfaatkan terutamanya terhadap konflik di Semenanjung Gaza itu sebagai tanda kebersamaan.

Menurutnya, ia akan memberi impak besar terhadap kesedaran orang ramai mengenai penderitaan rakyat Palestin.

“Kami (Alhijrah) menyokong sepenuhnya Program #QuranHour For Gaza kerana ia salah satu cara untuk kita menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.“Kami akan menghantar wakil penerbitan untuk melakukan liputan secara langsung di lokasi pada hari kejadian dan turut menguar-uarkan kepada orang ramai melalui semua platform yang ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, beberapa media lain turut mempromosi dan menjayakan program tersebut antaranya Astro Awani, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), TV9, Ikim FM, Suria FM dan Zayan FM.

Yayasan Warisan Ummah Islam (WUIF) dengan kerjasama MyAqsa Defenders menganjurkan #QuranHour For Gaza esok, bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai konflik di Semenanjung Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff dilaporkan berkata, program yang bakal berlangsung di Dataran Kumpulan Karangkraf itu bertujuan mengembalikan fokus umat Islam dan bukan Islam memahami nilai surah dalam al-Quran mengenai isu kemanusiaan yang berlaku antara Palestin dengan Israel.

Sementara itu Namanzee berkata, sebagai umat Islam, keadaan itu memberi kesan dan cara terbaik mampu dilakukan adalah menyokong serta menguar-uarkan program kepada ramai orang.

“Kita perlu terus menggerakkan apa saja kaedah untuk membantu mereka sama ada melalui jihad harta iaitu bersedekah dan memberi maklumat berterusan kepada dunia,” jelas beliau.

Sumber