Bersama Pakar Perhubungan dan Keintiman, Diyana Tahir:
Soalan: SAYA Lina Mohamad (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun. Mengikut perancangan pada bulan Disember tahun ini, saya bakal mendirikan rumah tangga. Namun begitu, malangnya hubungan saya dan bakal suami terputus di tengah jalan pada bulan lalu.
Alasan pihak lelaki tiada keserasian, walhal hubungan kami tiada masalah sepanjang tiga tahun ini. Saya terkejut kerana dia berubah sekelip mata. Biarpun, saya reda dengan ketentuan itu, tetapi kesedihan itu sukar dibendung.
Justeru, apakah cara terbaik untuk keluar daripada kepompong kesedihan memandangkan sebelum ini saya seorang yang ceria dan berfikiran positif. Saya bimbang keperitan ini akan menjejaskan karier sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.
Jawapan: Seringkali kita mendengar ungkapan jodoh pertemuan, ajal dan maut di tangan ALLAH. Maka sebagai hamba kita akan berasa terluka dan bersedih dek kehilangan insan tersayang. Usah bimbang kerana ia merupakan emosi semula jadi.
Rasa sedih dialami merupakan energi yang sukar dihapuskan, sebaliknya boleh diubah menjadi energi positif bagi menjadikan kita individu lebih baik dan cemerlang.
Membebaskan diri daripada kepompong kesedihan tidaklah sukar jika kena dengan caranya. Sehubungan itu, pada edisi kali ini saya berkongsi lima langkah yang dapat membantu membebaskan diri dan jiwa daripada kesedihan menyakitkan.
1 Lapangkan dada dan bersyukur
Sebagai hamba ALLAH, kita perlu reda dan bersyukur dengan perkara berlaku. Jangan berterusan meratapi nasib seolah-olah kita ialah manusia paling malang dalam dunia. Bersyukurlah pada ujian tersebut dan percaya ada hikmah di sebaliknya untuk menjadikan kita insan lebih baik.
Bayangkan, di luar sana terdapat wanita yang inai masih merah pada jari, tetapi suami pula memiliki wanita lain. Tidak kurang juga dengan pasangan yang telah berkahwin bertahun-tahun, mempunyai cahaya mata dan bercucu, namun terpaksa berdepan perceraian.
Sehubungan itu, bagi mereka yang ditinggalkan tunang sebelum sempat melangsungkan perkahwinan, bersyukurlah kerana ALLAH menjauhkan anda daripada pasangan yang mungkin tidak tahu untuk menghargai. Percayalah rancangan Allah SWT adalah terbaik.
2 Berhenti menyalahkan diri
Sebahagian besar individu menyifatkan kelemahan dan kesilapan diri punca perpisahan. Walhal, keserasian amat penting dalam sesuatu perhubungan memandangkan ia perlu dicari dan dicipta bukannya datang dari langit.
Cinta dan bahagia itu diciptakan untuk dua hati yang saling terbuka menerima pasangan seadanya. Jadi, sejujurnya anda layak memiliki lelaki yang menerima diri dan kasih sayang seadanya.
3 Kelebihan dan kekuatan diri
Senaraikan sebanyak mungkin kelebihan dan kekuatan diri. Kemudian, lihat satu persatu kelebihan dan kekuatan berkenaan. Bertanyakan pada diri di mana kerugian apabila pasangan meninggalkan anda? Ironinya, tiada kerugian kehilangannya, tetapi pasangan yang rugi meninggalkan anda yang memiliki banyak kelebihan dan kekuatan.
4 Percaya jodoh ketentuan ALLAH
Berbalik semula kepada fitrah bahawa jodoh milik Allah SWT dan setiap yang berlaku adalah ketentuan-NYA. Jika tiada jodoh maka reda akan ketentuannya. Anggaplah pasangan itu bukanlah jodoh terbaik.
Ingatlah setiap kepahitan pasti ada kemanisan di penghujung. Bersyukur pada setiap takdir kerana setiap aturan ILLAHI dalam kehidupan adalah yang terbaik.
5 Aktiviti menggembirakan
Setiap individu pasti mempunyai pelbagai aktiviti yang berupaya menggembirakan hati dan mengurangkan tekanan.
Jadi luangkan masa dan rancang aktiviti sama ada secara bersendirian, bersama rakan-rakan ataupun keluarga kerana aktiviti itu secara tidak langsung membantu anda melupakan kesedihan dan merawat hati.
Ketahuilah bahawa wanita yang gembira dan positif adalah daya penarik utama kepada ramai lelaki. Dalam pada itu, bersedia untuk memulakan diri dan perhubungan yang baharu.
Jangan sia-siakan diri dengan menyimpan perasaan kecewa terlalu lama. Yakinlah anda berhak menerima cinta dan kasih sayang. Sayangi diri, cintai diri. Paling utama merasai kasih sayang daripada orang sekeliling.